Monday, February 4, 2008

SDC PELUANG SABAH LAKUKAN KEAJAIBAN

Oleh Veena Rusli

KOTA KINABALU: Sejarah bakal melakar hari ini sebagai detik yang mengubah wajah Sabah dalam membuka lembaran baru berbekal matlamat meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi penjanaan ekonomi secara lebih menyeluruh.

Dalam tempoh 18 tahun pelaksanaannya, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dilihat mampu menjadi landasan terhadap keampuhan pembangunan sosial, ekonomi, fizikal dan alam sekitar dengan menjadikan kitaran pertumbuhan semasa sebagai pemangkin keutuhan Sabah.

Jika semua perancangan berjalan lancar, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) perkapita Sabah akan melonjak tiga kali ganda menjelang 2025, manakala pelaksanaan program secara menyeluruh bakal menyaksikan KDNK negeri tumbuh pada kadar empat kali ganda.

Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia tetapi masih dihimpit isu kemiskinan tegar, anggaran 900,000 peluang pekerjaan yang dijanjikan menerusi 18 tahun pelaksanaan SDC seharusnya memberi makna baru terhadap usaha memperbaiki kehidupan di kalangan rakyat khususnya di luar bandar.

Seperti diluahkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, SDC adalah peluang terbuka bagi semua pihak memanfaatkan peluang disediakan supaya tiada yang ketinggalan.

dalam perlumbaan kali ini. "Kalau kita cepat, kita akan ke hadapan tapi yang lambat pasti tercicir. Kita mahu menghapuskan jurang itu kerana menerusi SDC, tiada siapa akan dipinggirkan," katanya.

Prasangka kononnya SDC cuma memanfaatkan golongan tertentu perlu dihakis kerana pelan induk pelaksanaannya jelas menunjukkan tumpuan akan diberi terhadap sektor yang dekat di hati rakyat Sabah, khususnya pembuatan, pertanian dan pelancongan.

Untuk mendapat nikmatnya, penduduk Sabah perlu pantas melangkah supaya peluang disediakan tidak direbut pihak lain, terutama pekerja asing yang cekap menghidu peluang dan tidak memilih pekerjaan.

SDC adalah landasan terbaik bagi graduan menganggur menjadi petani dan nelayan moden yang melakukan anjakan terhadap kaedah pertanian supaya hasilnya lebih lumayan.

Ia juga kesempatan bagi pengusaha industri homestay bagi memperbanyakkan jenis perkhidmatan supaya tarikan yang disediakan menjadi buah mulut pengunjung, sama ada dari dalam atau luar negara.

Uniknya, Sabah memiliki pelbagai kekuatan yang sewajarnya dicemburui negeri lain. Lokasi strategik, kekayaan khazanah alam semula jadi dan kepelbagaian bio dan budaya menjadikan Negeri di Bawah Bayu tidak ketandusan modal untuk meningkatkan perolehan.

Bagaimanapun, segala usaha yang digerakkan Kerajaan Persekutuan, negeri dan sektor swasta menerusi penjanaan SDC memerlukan sokongan rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan persaingan global yang menuntut segala-galanya dilaksanakan dengan pantas dan cekap.

Ada yang menyifatkan SDC sebagai peluang terakhir bagi Sabah mengubah keseluruhan wajahnya dan jika ada kebenaran di sebalik pandangan itu, tidak banyak pilihan yang tinggal melainkan menggunakan 18 tahun akan datang sebagai tempoh menuai benih pembangunan.

Justeru, tiba detiknya bagi Sabah menyertai perlumbaan mengejar masa dengan gagasan pembangunan yang lebih besar dan mencakupi keperluan rakyat. - BERITA HARIAN.

No comments: