Oleh Amirullah Andi Nur
DESAS-DESUS sebelum ini mengenai kemungkinan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik bertanding kerusi Parlimen bagi membolehkannya kembali cergas dalam politik, tidak menjadi kenyataan.
Begitu juga nama Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria yang tidak disenaraikan langsung selepas dikatakan akan dicalonkan di Masjid Tanah, tempat kelahirannya.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ibrahim Abu Shah yang disebut-sebut hendak dibawa bertanding di DUN Serkam sekali gus berpotensi menjadi Ketua Menteri baru juga tidak menjadi kenyataan.
Sumber-sumber menyatakan nama ketiga-tiga mereka langsung tidak ada dalam senarai lima calon teratas di kawasan masing-masing.
Tetapi kini timbul satu persoalan, mengapa tercetus khabar angin sejak tahun lalu lagi bahawa Datuk Seri Mohd Ali Rustam atau lebih mesra dengan panggilan 'Tok Ali' akan bertanding kerusi Parlimen, sekali gus menyemarakkan desas-desus yang Melaka akan mendapat Ketua Menteri baru selepas pilihan raya umum kali ini.
Di kalangan sumber dalaman parti dan kerajaan sendiri sebelum ini tidak pernah menidakkan spekulasi itu. Ia diperkukuhkan lagi dengan khabarnya seorang setiausaha khas beliau sanggup berhenti selepas berkhidmat lebih lima tahun dan mencari kerja baru kerana bimbang menganggur selepas ini.
"Ya memang benar Tok Ali hendak ke Parlimen sebelum ini sebab dia nak cabaran lebih besar. Tetapi semua ini adalah keputusan Pak Lah dan sebagai seorang ahli parti yang setia kepada pemimpin, beliau akur," katanya.
Namun, sumber dalaman lain pula berkata, keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan Tok Ali itu adalah atas permintaan Naib Presiden Umno itu sendiri pada saat akhir, kerana ingin memastikan Wawasan Melaka Negeri Maju 2010 berjaya direalisasikan.
"Projek yang diilhamkannya itu sedang berjalan lancar dan kini berada di landasan tepat. Bagi memastikan ia menjadi kenyataan, maka Tok Ali berasakan dia perlu terus berada di negeri ini bagi memantau dan merencanakan wawasan itu," katanya.
Ada kalangan penganalisis politik menyifatkan keputusan Tok Ali itu didorong oleh permintaan di kalangan anggota komponen BN Melaka sendiri yang berasa cukup selesa dengan corak kepemimpinannya terutama MCA selain faktor hasratnya untuk mempertahankan semula kedudukannya sebagai Naib Presiden Umno, selepas pilihan raya nanti.
Amat jelas khidmat Tok Ali masih diperlukan di Melaka. Malah ketika membuat pengumuman senarai calon BN di Melaka kelmarin, kira-kira 1,000 hadirin menunggu dengan penuh debaran apakah Tok Ali akan berpindah bertanding kerusi Parlimen Bukit Katil.
Rasa gementar semua yang hadir terlerai kemudiannya, sebaik saja nama calon Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu diumumkan bertanding di situ. Gambarannya menerusi tepukan gemuruh kedengaran memenuhi dewan sehinggakan suara Tok Ali yang membuat pengumuman ketika itu hampir tenggelam.
"Calon Parlimen Bukit Katil adalah Datuk Md Sirat Abu... dan terakhir sekali bagi DUN Bukit Baru, calonnya adalah Mohd Ali Rustam," umum Tok Ali yang terus disambut dengan tepukan gemuruh dan teriakan kuat `Hidup Tok Ali, Hidup Tok Ali, Hidup BN, Hidup BN'.
Apabila diajukan soalan berkisar kepada keputusannya untuk kekal bertanding kerusi DUN selepas pengumuman itu, Tok Ali berkata keputusan itu dibuat oleh Perdana Menteri, dan beliau akur, tanpa memberi sebarang penjelasan lanjut.
Nama Tok Ali sebelum ini diuar-uarkan bertanding di Parlimen Bukit Katil menggantikan Datuk Dr Ruddin Abd Ghani. Sebagai rekod beliau adalah juga Ketua Umno di bahagian itu manakala DUN Bukit Baru yang diwakilinya berada di kawasan Parlimen itu.
Selain kedudukan Tok Ali, pengumuman senarai calon yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka itu itu berjaya meleraikan beberapa persoalan lain yang turut dinantikan ramai sebelum ini.
Timbalan Ketua Umno Jasin, Datuk Mohd Said Yusof yang terkenal dengan jolokan 'YB tutup sebelah mata' dan disebut-sebut akan digugurkan gara-gara kontroversinya itu, benar-benar tidak senaraikan semula kali ini. Beliau cuma mewakili kawasan itu selama sepenggal.
Alasan diberikan Tok Ali apabila diajukan soalan itu ialah BN hendak memberi peluang kepada orang baru pula. Namun sumber memberitahu, keputusan itu diambil kerana Mohd Said dikatakan gagal melepasi penapisan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Tempat Mohd Said digantikan oleh Ketua bahagian Umno Jasin yang juga exco kerajaan negeri dan bekas Adun Serkam, Datuk Wira Ahmad Hamzah.
Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn yang juga disebut-sebut akan digugurkan selepas bertanding selama empat penggal, turut dikekalkan untuk bertanding di Parlimen Alor Gajah. (Berita Harian)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment