KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Selepas berkhidmat selama 36 tahun dalam Kabinet, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik hari ini mengucapkan selamat tinggal.
Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan Kabinet pada mesyuarat terakhir selepas Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.
Dr Lim, yang sentiasa pandai berjenaka dan bersikap terus terang tetapi kadang-kala "kontroversi", telah berkhidmat dengan kerajaan selepas dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas yang memegang portfolio kampung baru dan kerja-kerja darurat pada 1972.
"Saya seorang sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada Kabinet. Yang lain enggan mengucap selamat tinggal kerana mereka tidak mahu bersara lagi.
Biarpun ada sebilangan yang tahu ini mungkin merupakan penggal terakhir mereka dalam Kabinet namum enggan mengucapkan selamat tinggal," katanya sambil diikuti dengan gelak ketawa ketika dihubungi Bernama.
Ditanya apa rancangannya selepas ini, Dr Lim berkata beliau masih perlu meneruskan kerja-kerja sebagai menteri sementara sehingga Kabinet baru dibentuk.
"Saya masih harap untuk pergi bekerja, membantu dalam kempen dan perkara-perkara lain," kata ahli politik berusia 68 tahun yang kini memegang peranan sebagai penasihat parti Gerakan selepas menyerahkan kepimpinan parti kepada anak didiknya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, April tahun lepas.
Dr Lim, yang berkhidmat sebagai wakil Parlimen Bruas, Perak selama dua dekad, telah menyatakan hasratnya untuk bersara dua tahun lepas -- mula-mula sebagai presiden parti dan kemudian sebagai menteri.
Naib Presiden Gerakan Datuk Chan Ko Youn kemungkinan akan dicalonkan bertanding bagi kerusi Parlimen Bruas itu.
Anak kelahiran Tapah, Perak, Dr Lim bersara sebagai presiden parti pada 8 April tahun lalu, yang juga menjadi tarikh ulang tahun kelahirannya ke-67 selepas memimpin parti itu selama 26 tahun dan tujuh bulan.
Beliau menyerahkan jawatan presiden kepada timbalannya Dr Koh pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan Luar Biasa pada hari yang sama.
Biarpun Dr Lim berjanji tidak akan menangis sepanjang menjadi presiden Gerakan namun air matanya mengalir selepas selesai memberi ucapan presiden terakhirnya di hadapan semua perwakilan.
Bagaimanapun tidak diketahui sama ada ahli politik veteran itu mengalirkan air mata apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih atas dedikasi Dr Lim yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan pada mesyuarat Kabinet hari ini.
Najib juga menghargai watak Dr Lim yang penuh berwarna-warni.
Bagaimanapun, satu perkara yang sudah pasti -- beliau tidak akan menghilangkan diri dengan begitu cepat sekali apabila dia menyebut: Tanya (saya) mengenai persaraan saya kemudian. Saya masih belum mati, jangan tulis obituari saya."
Dr Lim, lulusan doktor perubatan dari Universiti Queen, Belfast, Ireland, pada 1964, menyertai Gerakan pada 1973 selepas dipecat dari MCA pada tahun yang sama selepas bercanggah pendapat dengan presiden MCA ketika itu Tun Tan Siew Sin.
Dr Lim, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) paling lama, memulakan karier politiknya pada 1968. Beliau menyertai MCA dan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Baru di Perak pada 1969 atas tiket Pakatan tetapi tewas.
Pada 1971, beliau menjadi Pengerusi MCA Perak dan dilantik sebagai senator untuk dua penggal. Pada tahun berikutnya, beliau menyertai barisan Kabinet sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.
Bagaimanapun, beliau meletakkan jawatan menteri pada 1973 sebagai membantah pemecatan pemimpin gerakan reformasi MCA kerana menyokong kumpulan penentang.
Setahun selepas menyertai Gerakan pada 1973, beliau menjadi Ketua Bahagian Gerakan Hulu Kinta. Beliau kemudian menjadi Pengerusi Gerakan Perak pada 1974.
Dua tahun kemudian, beliau dipilih sebagai timbalan presiden.
Pada Julai 1978, Dr Lim meletakkan jawatan sebagai senator dan bertanding dan memang kerusi DUN Jalong, Perak, pada pilihan raya 1978.
Pada 1980, Dr Lim menjadi presiden Gerakan. Pada tiga penggal pertama sebagai pemimpin parti, beliau menghadapi cabaran untuk jawatan presiden tetapi berjaya mempertahankannya.
Pada pilihan raya umum 1986, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Bruas dan memenanginya dengan kelebihan selesa. Beliau kemudian kembali sebagai Menteri Perindustrian Utama pada tahun berkenaan dan berkhidmat dalam jawatan itu sehingga 2004.
Selepas pilihan raya umum 2004, Abdullah melantiknya sebagai Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi.
Pemimpin Gerakan veteran selama sembilan penggal itu menghadapi ujian mudah dalam parti apabila timbalannya Datuk Seri Kerk Choo Ting menentangnya untuk jawatan presiden tahun lepas. Dr Lim mendapat 983 undi berbanding 628 yang diperolehi oleh lawannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment