Tuesday, February 19, 2008

JANGAN GADAI MASA DEPAN NEGARA

IPOH, 18 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak menggadaikan masa depan negara dan generasi akan datang dengan meletakkan kepercayaan kepada pakatan pembangkang yang kononnya bergabung atas platform Barisan Alternatif (BA). Timbalan Perdana Menteri berkata sebaliknya pakatan itu lebih merupakan pakatan dalam gelap yang berpakat hanya untuk menghadapi pilihan raya umum berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang berpakat sepanjang masa.

"Adakah boleh serah masa depan negara dan anak-anak kita..., bolehkah kita tidur nyenyak jika parti bayangan alternatif ini mentadbir negara," katanya berucap pada majlis jamuan malam jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Perak di kediaman Menteri Besar Perak di sini.

Najib yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata kumpulan yang mengadakan pakatan yang cuba meniru permuafakatan BN ini sebenarnya kelompok yang ekstrem.

Katanya satu daripada parti itu hendakkan negara Islam yang teokratik manakala satu lagi dengan konsep negara sekular dan sentimen Malaysia Malaysia.

"Satu lagi boleh kita gelar sebagai Parti Kurang Relevan iaitu PKR...kita tidak tahu mana hendak diletakkan pendirian parti ini yang hanya mempunyai satu kerusi tetapi kini bercakap besar dan mempunyai orang besar hendak bertanding di sana sini," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh hadirin. Najib berkata:" Bolehkah rakyat meletak kepercayaan kepada kelompok ini yang tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain...bolehkah kita gantung keyakinan (kita bagi) mereka ini mentadbir."

Timbalan Pengerusi BN itu berkata ia berbeza dengan BN yang berpakat sepanjang masa dan sentiasa berunding hingga dapat menyelesaikan semua masalah rakyat yang berbilang kaum.

Beliau juga menyifatkan PAS sebagai sebuah parti yang sering bertukar platform.

"Dulu kafirkan orang Umno kemudian bawa hudud tetapi apabila kedua-duanya tidak laku, kini mereka bawa pula isu negara kebajikan," katanya.

Najib berkata berbeza dengan BN yang telah berjaya mentadbir negara melalui konsep perkongsian kuasa dan permuafakatan sebenar antara kaum.

Najib berkata BN bakal mengeluarkan "pelurunya" satu persatu dan akan menggempur pakatan pembangkang habis-habisan pada pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya pada lawatan kerja seharinya ke Perak hari ini, beliau yakin BN Perak akan mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya 8 Mac ini.

"Di Perak ada 1.9 juta orang pengundi. Yang penting jentera BN perlu bertemu dengan setiap daripada 1.9 juta orang pengundi ini bagi BN Perak mendapat kejayaan gemilang," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa BN bukan sahaja perlu memperkasakan jentera pilihan rayanya di semua peringkat tetapi juga mesti mengelakkan sebarang perbalahan dan persengketaan antara sesama komponen parti.

No comments: