SERI ISKANDAR, 17 Feb (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Gopeng Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin hari ini mengesahkan namanya tidak dicalonkan oleh bahagian itu untuk bertanding pada pilihan raya umum pada 8 Mac ini.
Beliau berkata ini kerana Umno Gopeng hanya memiliki satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan adalah tidak wajar untuknya merebut kerusi itu.
"Saya beri peluang kepada pemimpin yang lebih muda serta berketrampilan dan mampu menggalas cabaran dalam memastikan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di negara ini. "Dan sepanjang menerajui Umno Gopeng, belum pernah sekalipun saya mencalonkan nama sendiri untuk bertanding kerana bagi saya adalah tidak wajar," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Latihan Jahitan Kemas di Institut Latihan KEMAS Seri Iskandar, di sini hari ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata beliau tidak akan menolak untuk bertanding sekiranya Umno Gopeng memiliki kerusi Parlimen yang ketika ini dipegang oleh MCA.
Berikutan kemenangannya dalam pilihan raya umum 2004, Aziz kini menduduki kerusi Parlimen Shah Alam.
"Saya tidak akan meminta-minta atau mencium tangan YAB Perdana Menteri hanya kerana inginkan sebuah kerusi yang belum tentu jadi milik saya dan beliau yang saya kenali semenjak 36 tahun lalu tidak akan memberikan laluan mudah hanya kerana kami sahabat lama.
"Umno mempunyai hiraki yang tersendiri dan hanya pemimpin yang layak dan mampu menggalas cabaran dibenarkan ke depan untuk menjadi calon," katanya. Terdahulu, Abdul Aziz menyampaikan sijil kepada 25 pelajar yang merupakan kumpulan pertama peserta kursus jahitan tahap dua anjuran Kemas.
Abdul Aziz turut mengumumkan Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah akan menaikkan kadar elaun bulanan pelajar di Institut Latihan Kemas dari RM50 ke RM150 manakala elaun makanan harian dinaikkan kepada RM15 berbanding RM9.50 sebelum ini.
Sunday, February 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment