Monday, February 18, 2008

JIKA KEKAL TIDAK PERLU SOMBONG

Rais yakin PM ada cara untuk nilai prestasi bakal calon


KUALA LUMPUR, Ahad - Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau yakin Perdana Menteri mempunyai cara tersendiri dalam menilai prestasi seseorang ahli politik sebelum menentukan calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum nanti.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mempunyai bukan satu atau dua ’mata’, beliau mempunyai beribu mata, saya percaya beliau akan gunakan mata-mata itu untuk memberi markah kepada prefect beliau, kepada head boy beliau dan kepada guru besar beliau,” katanya.

Rais yang ditemui selepas merasmikan Modul Senam Seni Malaysia di Dataran Merdeka hari ini menjawab soalan sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya 8 Mac ini.

Sambil menegaskan bahawa keputusan sama ada beliau akan dicalonkan atau tidak tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri, Rais berkata beliau akan akur dengan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Beliau merupakan penyandang bagi kerusi parlimen kawasan Jelebu yang dimenanginya semula pada pilihan raya umum 1999 dan seterusnya pada 2004.

Pertama kali kawasan itu diwakilinya ialah pada 1974.

Rais melepaskan kerusi bagi kawasan berkenaan untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Pertang pada pilihan raya umum 1978, tetapi kemudian bertanding semula di kawasan itu pada pilihan raya umum 1982 dan kekal selama dua penggal sehingga 1986.

Pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, Rais gagal mempertahankan kerusi yang disandangnya apabila bertanding di bawah tiket Semangat 46. Namun beliau kemudian menyertai semula Umno dan bertanding bagi merebut semula kerusi berkenaan di bawah tiket BN pada pilihan raya umum 1999.

Ditanya pendapat beliau mengenai saranan supaya ahli politik veteran mengundur diri bagi memberi peluang kepada muka-muka baru, Rais berkata, beliau percaya kombinasi muka lama dan baru merupakan cara terbaik.

Namun kata ahli politik veteran ini, yang pasti “kita tunggulah (hari penamaan calon)...siapa yang gugur tidak perlu menangis, siapa yang kekal tak perlu sombong.” - Bernama

No comments: