Monday, February 25, 2008

BN BERMULA DENGAN CEMERLANG

Oleh Tham Choy Lin

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, melakar kejayaan awal apabila gabungan parti pemerintah itu memenangi tujuh kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding apabila penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum 8 Mac ini ditutup hari ini.

BN menang tanpa bertanding di kerusi parlimen Pengerang di Johor, Kalabakan dan Pensiangan di Sabah, dan Selangau, Kanowit, Tanjung Manis dan Kapit di Sarawak.

Abdullah yang mahu mendapatkan mandat rakyat buat penggal kedua, berkata kemenangan awal BN itu menunjukkan isyarat awal BN akan sekali lagi diberi mandat untuk memerintah negara, dan mengulangi harapannya bahawa BN akan mengulangi kemenangan dengan majoriti dua pertiga.

Meskipun proses penamaan yang mengambil masa sejam di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara berjalan lancar pagi ini, media bagaimanapun terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan keputusan penuh pencalonan.

Pilihan Raya Umum 8 Mac ini menyaksikan majoriti pertandingan satu lawan satu bagi 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN.

Sekali lagi, Kelantan menjadi tumpuan, dengan BN yakin dapat merampas kembali negeri itu daripada PAS setelah tewas tipis pada pilihan raya umum 2004 apabila memenangi 21 kerusi, hanya kekurangan tiga kerusi berbandng PAS, dan setahun kemudian memenangi pilihan raya kecil Pengkalan Pasir menjadikan BN 22 dan 23 bagi PAS.

Pulau Pinang turut menjadi tumpuan, dengan prestasi Naib Presiden Gerakan Teng Hock Nan dan Datuk Lee Kah Choon, yang berpotensi mengisi jawatan Ketua Menteri, dan sama ada parti itu bakal memperoleh kemenangan lebih besar daripada 13 kerusi parlimen yang dimenangi sebelum ini.

Di negeri-negeri majoriti Melayu - Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, calon-calon BN daripada Umno, dicabar kebanyakannya oleh calon PAS dan PKR manakala kawasan yang didominasi kaum Cina, pertembungan adalah antara MCA dan Gerakan yang ditentang DAP dan PKR. Abdullah berkata ternyata DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), bergabung tenaga untuk menentang BN di kebanyakan kerusi, semata-mata untuk kepentingan politik.

"Hakikatnya, DAP mempunyai falsafahnya sendiri yang tidak sama dengan apa yang PAS mahukan. Keadilan juga mempunyai idea tersendiri," kata Abdullah yang akan melancarkan manifesto BN di ibu negara esok. Perdana Menteri berkata manifesto itu akan memberi tumpuan terhadap isu-isu yang rapat di hati rakyat dan usaha kerajaan dalam mengurangkan beban kewangan rakyat ekoran kenaikan harga yang berpunca daripada peningkatan harga minyak mentah dunia yang menjejaskan banyak negara.

Meskipun harga minyak mencecah paras AS$100 setong, kerajaan menunaikan janjinya untuk tidak menaikkan harga bahan api sejak tahun lepas dengan kos subsidi minyak mencecah RM40 bilion, selain kerajaan membelanjakan RM5 bilion lagi untuk memastikan makanan utama penduduk seperti gula, minyak masak, gas memasak dan tepung, mampu dibeli, bagi menjaga kebajikan rakyat.

Calon yang menang tanpa bertanding ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Othman, yang mengulangi kejayaannya pada pilihan raya lepas apabila menang tidak bertanding di kerusi Parlimen Pengerang.

Pada 2004, pencalonan saingan tunggalnya daripada PAS, dibatalkan kerana gagal mengemukakan akaun perbelanjaan bagi pilihan raya 1999.

Calon lain ialah bekas ketua menteri Sabah Datuk Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan) dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Sri Joseph Kurup (Pensiangan), dan empat kerusi di Sarawak - Aaron Ago Dagang (Kanowit), Joseph Entulu Belaun (Selangau), Alexander Nanta Linggi (Kapit) dan muka baru, Norah Tun Abdul Rahman (Tanjong Manis), anak perempuan bekas ketua menteri yang juga Gabenor, Tun Abdul Rahman Yaakub.

Abdullah dan pemimpin parti komponen BN, berhadapan dengan pertandingan satu laman satu kecuali Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu yang menghadapi tentangan tiga penjuru.

Pengerusi BN itu yang berpakaian Baju Melayu berwarna biru dan lengkap bersamping dengan corak lambang dacing BN, tiba di Dewan Milenium di Kepala Batas, diiringi isterinya Datuk Seri Jeanne Abdullah yang berbaju kurung warna yang sama.

Abdullah mendapat sokongan padu di Kepala Batas, kubu kuatnya sejak 1978. Beliau dicabar oleh wakil PAS Subri Mohd Arshad.

Di Pahang, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mudah menewaskan pencabarnya daripada PAS pada 2004, ditentang oleh calon PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainudin di Pekan.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting yang berpindah ke kawasan Parlimen Kulai dari Tanjung Piai, dicabar oleh Ng Papk Siong daripada DAP. Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon, yang melepaskan jawatan ketua menteri Pulau Pinang yang disandangnya selama 18 tahun, bertanding di kerusi parlimen Batu Kawan dan bakal berhadapan dengan pesara, Prof P.Ramasamy, yang mewakili DAP.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu sekali lagi dicabar oleh D.Jeyakumar daripada PKR dan seorang calon bebas, Nor Rizan Oon, manakala di Taiping, ketua pemuda kebangsaan DAP, Nga Kor Ming berusaha menewaskan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas.

Di Pusat penamaan calon di Majlis Perbandaran Taiping, Kayves terpaksa berlari keluar dewan untuk mencari ejen pilihan rayanya apabila menyedari beliau memegang salah satu daripada borang pencalonannya.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang pertama kali bertanding ketika ditemui di Rembau, berkata beliau tidak akan menghiraukan serangan peribadi oleh lawannya daripada PKR, Badrul Hisham Shaharin, dan sebaliknya akan menumpukan kepada rakyat dan kehendak mereka.

Ibunya, Datuk Rahmah Abdul Hamid, dan isteri, Nori Abdullah, menyertai 5,000 penyokong mengiringi Khairy ke pusat penamaan calon bagi kawasan parlimen itu yang meliputi empat kawasan DUN - Paroi, Chembong, Kota dan Rantau. BN memenangi dua daripaa tiga kerusi DUN yang dimenangi tanpa bertanding manakala PAS menguasai satu kerusi.

BN memenangi kerusi Bugaya di Sabah menerusi Datuk Ramlee Marahaban dan Sementa di Selangor menerusi Datuk Abdul Rahman Palil. Kerusi DUN Kijang di Kelantan kekal ditangan calon PAS, Wan Ubaidah Omar, setelah pencalonan pencabarnya daripada BN, Mustopha Ahmed, dibatalkan kerana muflis. Pada 2004, BN menang 17 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN pada hari penamaan calon.

No comments: