PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) yakin akan mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihan raya umum ke-12 yang mungkin diadakan bulan depan.
"Ya, kami akan mendapat majoriti dua pertiga. Saya yakin. Kami akan mencapainya," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara di pejabatnya di sini.
Spekulasi sedang hangat mengatakan kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan pilihan raya lebih awal dari tempohnya menjelang akhir bulan depan.
Dalam pilihan raya umum lepas, pada 2004, BN mencatat kejayaan besar dengan memenangi sejumlah 198 daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Untuk pilihan raya umum ini, pertandingan adalah untuk merebut 222 kerusi Parlimen selepas tiga kerusi baru ditambah berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.
Semasa menjawab satu soalan, Najib menolak janji pilihan raya parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membayar gaji surirumah jika ia memerintah.
"Itu janji pembangkang...bukan di bumi nyata," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment