Daripada Sharifah Nur Shahrizad Syed Sharer
TOKYO, 4 Feb (Bernama) -- Pasaraya Koperasi yang bakal diwujudkan di Malaysia tidak lama lagi dipercayai mampu menjadi medium untuk mengatasi masalah kepenggunaan sekaligus memberi saingan kepada pasaraya-pasaraya besar dalam negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penubuhan pasaraya yang akan menekankan kepentingan penghasilan produk dan perkhidmatan yang berkualiti dengan harga berpatutan itu menjadi agenda utama kementerian dalam membantu mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin tinggi di Malaysia.
"Pasaraya Koperasi ini berpotensi jika dapat digerakkan untuk melihat isu-isu sosio ekonomi masyarakat, antaranya bagaimana mereka (koperasi) boleh membantu meringankan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat terutamanya dalam aspek kenaikan kos barang-barang," katanya kepada pemberita selepas melawat Koperasi Tokyo cawangan Wakabadai, kira-kira 100 kilometer dari sini.
Khaled kini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Tokyo, yang antara lain bertujuan melihat kejayaan dan pencapaian institusi koperasi di Jepun dalam membantu mengatasi masalah kos sara hidup masyarakat.
Katanya dengan mengambil contoh kejayaan koperasi di negara matahari terbit itu, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dan diberi masa tiga bulan untuk mengkaji perkara tersebut dan mengemukakan kertas kerja mengenai penubuhan pasaraya itu.
Jawatankuasa itu terdiri daripada wakil kementerian, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sebagai badan penaung, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Rakyat.
Khaled berkata sebagai langkah permulaan, Pasaraya Koperasi itu dirancang untuk ditubuhkan di semua 17 buah institut pengajian tinggi awam di seluruh negara.
Menurutnya kejayaan Pasaraya Koperasi itu bagaimanapun bergantung kepada sokongan masyarakat terutamanya anggotanya serta keupayaan peneraju sektor koperasi untuk merealisasikan agenda itu.
Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira 5,000 koperasi di seluruh negara dengan keangggotaan mencecah lima juta orang.
Koperasi Tokyo merupakan koperasi pengguna yang ketiga terbesar di Jepun, di mana kira-kira 1.1 juta isi rumah menjadi pelanggannya dengan perolehan tahunan mencecah RM5 billion.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment