SUNGAI PETANI, 9 Feb (Bernama) -- Seorang bekas penyokong kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azizan Mahmud, 57, terharu dengan sikap prihatin Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin mengunjungi beliau yang kini terlantar sakit.
"Saya minta maaf kerana sebelum ini tidak mahu bersalam dengan Datuk semasa pilihan raya umum lepas," katanya yang meluahkan perasaan kesal ketika dikunjungi Zainuddin di rumahnya di Kampung Baru, Tandop Batu, Merbok dekat sini hari ini.
Azizan kesal sikap bermusuhnya terhadap penyokong parti kerajaan sebelum ini hingga sampai ke peringkat tidak mahu bersalam dengan Zainuddin semasa anggota Parlimen Merbok itu menjadi calon Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2004.
Kejadian itu berlaku di hadapan orang ramai ketika Zainuddin yang mengenali Azizan, ingin bersalam dengannya ketika ditemui di markas pembangkang di pekan Merbok semasa berkempen.
Azizan yang sebak dengan pertemuan itu berkata, ini kerana waktu itu beliau terlalu taksub dengan pembangkang hingga semua penyokong kerajaan dianggap musuh.
Azizan lumpuh sebelah badan selepas diserang strok beberapa bulan lalu.
Menteri itu meluangkan masa lebih 40 minit berbual dengan Azizan yang ditemani isterinya Aishah Abdul Rahman, 57, dan menasihatkan bekas pegawai tadbir sebuah universiti tempatan itu supaya menjaga kesihatannya dan mendapatkan rawatan terapi di hospital berdekatan.
Sepanjang pertemuan itu, Azizan beberapa kali memohon maaf kepada Zainuddin selaku anggota Parlimen Merbok kerana sikapnya (Azizan) sebelum ini yang terlalu taksub dengan parti pembangkang.
Zainuddin berkata beliau tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap Azizan di atas perbuatannya dan setelah mengetahui Azizan mengalami lumpuh, beliau datang menziarahi Azizan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment