Tuesday, February 19, 2008

BN KEDAH TURUN MUKA BARU

Oleh Azmi Md Deros

SETIAP kali menjelang hari penamaan calon pilihan raya umum, pasti ramai wakil rakyat yang tidak lena tidur. Mereka resah memikirkan sama ada dicalonkan semula, diminta berpindah kawasan atau yang paling sukar diterima, digugurkan.

Bagi orang baru yang mendengar desas- desus namanya disenaraikan pula, mereka tidak terlepas memasang angan-angan bergelar Yang Berhormat (YB), lebih-lebih lagi selepas berhempas pulas berkhidmat sebagai orang kuat parti politik di sesuatu kawasan tanpa 'kerusi'.

Di Kedah, beberapa wakil rakyat yang sudah lama berkhidmat di negeri itu, termasuk mereka yang menghadapi masalah kesihatan dijangka tidak dicalonkan semula bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac ini.

Pengguguran muka lama kebanyakannya yang sudah berkhidmat lebih daripada dua penggal itu bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) Kedah menampilkan muka baru yang menunjukkan kebolehan dan kemampuan membantu kerajaan negeri meneruskan kesinambungan memajukan negeri jelapang padi ini.

Pengerusi Perhubungan BN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, mereka yang sudah lama menjadi wakil rakyat dan tidak mampu memberi khidmat terbaik wajar memberi laluan kepada orang baru.

Beliau juga mengalu-alukan wakil rakyat lama yang secara sukarela mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada muka baru. Malah, beliau turut tabik kepada dua wakil rakyat yang awal-awal lagi menyatakan hasrat menarik diri dan menyifatkan keputusan itu sebagai 'gentleman'.

Dua wakil rakyat itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Datuk Beh Heng Seong yang menjadi wakil rakyat sejak 1990, iaitu sudah empat penggal dan pernah menjadi Exco Perumahan, Perindustrian dan Alam Sekitar negeri. Beh memberi alasan dia mahu menumpukan masa bersama keluarga dan perniagaan.

Seorang lagi yang dikatakan akan berundur ialah Adun Kuala Nerang, Datuk Dr Afifuddin Omar. Beliau menjadi Ahli Parlimen Padang Terap selama dua penggal, iaitu mulai Pilihan Raya Umum 1990 dan pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan.

Pada Pilihan Raya Umum 1999 beliau bagaimanapun tidak bertanding dan muncul kembali di DUN Kuala Nerang pada 2004. Tempat beliau dijangka digantikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

Selain itu, antara mereka yang disebut-sebut akan digugurkan ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Mahadzir Mohd Khir yang menduduki kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999.

Mahadzir, 62, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran menghadapi masalah kesihatan dan pernah bercuti selama sembilan bulan serta menjalani pembedahan jantung pada Disember 2005.

Biar pun menghadapi masalah kesihatan, beliau dilihat masih berminat untuk bertanding dan dilaporkan berkata masih mampu berkhidmat kepada masyarakat kawasan itu. Buat masa ini antara nama yang disebut mengambil alih tempat beliau ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Ali Yahya yang juga anak jati Sungai Petani.

Di kawasan berjiran dengan Sungai Petani, seorang lagi menteri Kabinet yang disebut-sebut akan digugurkan ialah Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin yang baru sepenggal berkhidmat di kawasan itu.

Zainuddin ketika dihubungi baru-baru ini bagaimanapun enggan mengulas mengenai kedudukannya. Zainuddin, 68, pernah dilantik sebagai senator pada 1998 dan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan pada 2001 sebelum dilantik Menteri Penerangan pada 2004.

Tempat beliau dijangka digantikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Di Parlimen Kulim Bandar Baharu, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 1990 dijangka turut digugurkan dan antara nama yang disebut menggantikannya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Modal Insan negeri yang juga Adun Bandar Baharu, Datuk Azimi Daim.

Sementara itu, Adun Bukit Selambau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan dan Masyarakat India negeri, Datuk V Saravanan dijangka turut digugurkan. Beliau yang juga Pengerusi MIC negeri sudah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama tiga penggal, iaitu sejak 1995. Antara nama yang disebut menggantikan beliau ialah Bendahari MIC Kedah, P Krishnan.

Di Parlimen Langkawi pula, sebelum ini ada desas-desus mengatakan Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dijangka menggantikan Datuk Abu Bakar Taib yang pernah menjadi wakil rakyat DUN di pulau itu sejak 1990 sebelum ditukar kepada Parlimen Langkawi pada 1995.

Sumber memberitahu nama Mukhriz dicalonkan di Langkawi bagi membalas jasa ayah beliau, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memajukan pulau lagenda itu sehingga menjadi destinasi pelancongan terkenal.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, Umno Bahagian Langkawi dikatakan bermesyuarat dan mendesak menolak calon dari luar, sekali gus menguatkan lagi ura-ura Abu Bakar akan kekal mewakili pulau itu.

Di kawasan Parlimen berkenaan, antara wakil rakyat yang dijangka digugurkan ialah Adun Ayer Hangat, Datuk Md Hassan Bulat yang sudah menjadi wakil rakyat sejak 1995 bagi memberi laluan kepada Ketua Pemuda Langkawi yang juga Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid.

Di kawasan Parlimen Sik pula, Datuk Dr Wan Azmi Ariffin juga dijangka digugurkan. Antara nama yang disebut-sebut bertanding di kawasan itu ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Othman Desa atau Datuk Hasbullah Isa.

Turut disebut-sebut akan digugurkan ialah Setiausaha Parlimen Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kini menduduki kerusi Parlimen Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan tempat beliau dikatakan akan digantikan Ketua Pemuda Umno Bahagian itu yang juga Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara itu, Adun Jitra yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Prof Othman Ishak juga dikatakan tidak dicalonkan lagi bagi memberi laluan kepada muka baru. Antara nama yang disebut-sebut ialah Naib Ketua Umno bahagian Kubang Pasu, Aman Khan Md Hussein, manakala Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Khalidah Adibah Ayob yang juga di kawasan Parlimen sama dijangka digantikan oleh Timbalan Ketua Umno bahagian itu, Datuk Ahmad Zaini Japar.

Selain itu, Adun Kuala Ketil, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dijangka digantikan oleh Naib Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Wahab Din. Abdul Aziz dikatakan sudah lama tidak berminat mewakili kawasan itu.

Turut dijangka digugurkan ialah Adun Merbau Pulas, Datuk Mohd Hadzir Ismail bagi memberi laluan kepada Ketua Penerangan Umno Padang Serai, Abdul Rahman Mahmud.

Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain juga dijangka melepaskan kerusi DUN Kubang Rotan dan tempat beliau dijangka diisi oleh Nordin Saleh yang juga Ketua Penerangan Umno.

Beberapa lagi Adun yang dijangka tidak disenaraikan, termasuk Abu Hassan Sarif (Kota Suputeh), Fadzil Hanafi (Alor Mengkudu) dan Datuk Ismail Harun (Jeneri).

Walau apa pun, seperti yang kerap kali dinasihatkan pemimpin parti, termasuk Menteri Besar sendiri, wakil rakyat yang digugurkan tidak seharusnya merajuk sehingga mengambil tindakan yang boleh melemahkan jentera kempen parti.

Mereka yang tidak terpilih wajar bersikap rasional dan menerima pepatah hidup ini bagaikan roda, ada kalanya kita di atas dan ada kalanya di bawah. Mereka perlu terus memberikan khidmat kepada parti walaupun tanpa jawatan.

Bagi yang disebut-sebut akan dicalonkan tetapi tidak tersenarai pula janganlah berkecil hati kerana keputusan mutlak adalah hak Perdana Menteri.

Inilah masanya jika mahu membuktikan kita ikhlas berjuang untuk parti, bangsa, agama dan negara dan bukan untuk matlamat lain. Mereka masih boleh terus berkhidmat walaupun tidak lagi bergelar YB. (Rencana Berita Harian).

No comments: