Thursday, February 14, 2008

MAMPU BERKHIDMAT AKAN DICALONKAN - PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb(Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata Barisan Nasional (BN) akan memastikan hanya calon yang mampu berkhidmat kepada rakyat secara jujur, berwibawa dan efisien akan dicalonkan dalam pilihan raya umum ini.

Perdana Menteri berkata ini bagi membuktikan kepada rakyat bahawa parti itu serius dalam menjalankan tanggungjawab untuk membangunkan negara dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.

"Pada masa yang sama kami sedar yang kami perlu bekerja lebih keras kerana kami telah menambah nilai terhadap apa yang kami buat.

"Ini amat penting kerana apa yang kami mahu ialah kemajuan untuk rakyat. Inilah komitmen kami," kata Abdullah yang juga pengerusi BN pada sidang akhbar di sini selepas mempengerusikan mesyuarat majlis BN.

Perdana Menteri berharap rakyat akan mengundi BN sekali lagi dalam pilihan raya umum kali ini dan memberikan mandat baru kepada parti untuk membolehkannya memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Mengenai persiapan BN, Abdullah berkata semua parti komponen sudah bersedia dan akan terus bekerjasama dalam pilihan raya umum ini.

Abdullah berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh parti komponen dan "kami akan terus bekerjasama seperti biasa kerana kami adalah satu pasukan, bersatu dengan tujuan yang sama iaitu untuk menang bagi membolehkan kami terus berkhidmat kepada rakyat dan meneruskan dengan apa yang kami mahu laksanakan."

Katanya BN telah membuktikan ia adalah sebuah parti yang bekerja keras, mewakili semua kaum dengan jayanya dan "telah melaksanakan mandat yang diberikan kepada kami oleh rakyat pada pilihan raya umum 2004 secara serius."

Kepada soalan mengenai peruntukan kerusi, Abdullah berkata: "Sepertimana sedia ada," dan mengenai senarai calon pula, beliau berkata ia masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata timbalan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerajui jentera pilihan raya BN di peringkat kebangsaan.

No comments: