Tuesday, February 26, 2008

UTAMAKAN PEKERJA TEMPATAN









SUNGAI PETANI, 25 Feb (Bernama) -- Masalah kebanjiran pekerja asing di kilang-kilang sekitar Tikam Batu dan pembuangan sisa toksik di Sungai Korok dekat sini hari ini mendapat perhatian Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Katanya beliau akan berusaha menyelesaikan segala masalah yang dibangkitkan oleh penduduk kawasan berkenaan secepat mungkin.

DS Zainuddin berkata masalah kebanjiran pekerja asing di kilang-kilang sekitar Tikam Batu sehingga menjejaskan peluang pekerjaan bagi pekerja-pekerja tempatan, tidak seharusnya berlaku.

"Ini kerana kerajaan menanam modal untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, bukan sebaliknya," katanya kepada pemberita di sini, dan menambah bahawa beliau akan membincangkan perkara itu dengan kementerian yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

Merujuk kepada pencemaran Sungai Korok pula, DS Zainuddin berkata penduduk tempatan mengadu mengenai masalah pembuangan sisa-sisa toksik oleh kilang-kilang kertas dan bateri di kawasan itu ke sungai berkenaan.

Katanya beliau akan mengutarakan masalah itu untuk perhatian Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), dan menggesa pihak berkenaan menyiasat kejadian itu dengan segera.

"Saya akan beri perhatian sepenuhnya dari segi keselamatan dan kesihatan penduduk supaya tidak terjejas," katanya.

Masalah-masalah itu ditimbulkan oleh penduduk Kampung Regent, Tikam Batu dekat sini dalam pertemuan mereka dengan Zainuddin, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Petani, yang mengadakan lawatan di kampung berkenaan, hari ini.

No comments: