Monday, February 25, 2008

TINDAKAN HADI ANGKUH, KATA IDRIS JUSOH

MARANG, 25 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai angkuh kerana enggan bersalam dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir selepas proses penamaan calon, semalam.

Beliau berkata tindakan Abdul Hadi itu tidak mencerminkan perwatakannya sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam.

Idris, yang juga Pengerusi BN negeri, berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ahmad Ramzi, yang bertanding kerusi Parlimen Marang menentang Abdul Hadi, kepadanya semalam.

"Kita boleh cakap dia angkuh dan ego. Menjawab salam (berjabat tangan) itu fardu bukan budaya dan dia sebagai seorang pemimpin Islam tidak patut berbuat demikian...tetapi inilah PAS.

"Sebagai orang Islam kita (Ramzi) menghulur tangan untuk bersalam dan juga sebagai tanda hormat kepada beliau (Abdul Hadi) yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu.

"Tapi semasa Ramzi hendak bersalam, dia kata "dok payoh" (tidak payah)," katanya semasa menghadiri program makan pagi bersama Menteri Besar di Rhu Muda di sini hari ini.

Idris meluangkan masa kira-kira 40 minit pada majlis anjuran Umno Bahagian Marang itu, yang turut dihadiri Ahmad Ramzi dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Razali Idris.

Bagi kerusi DUN Rhu Rendang, Razali akan berdepan pemimpin nombor satu PAS itu yang merupakan penyandang kerusi itu.

No comments: