Wednesday, February 20, 2008

CALON PARACUT PADA PRU12

Oleh ROZAMAN ISMAIL

Ketika semua parti politik sudah bersiap sedia dengan senarai calon masing-masing untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac depan, lain pula ceritanya dengan DAP.

Parti itu berhadapan dengan krisis dalaman yang teruk, semuanya gara-gara calon paracut.

Perumpamaan yang paling tepat bagi menggambarkan situasi DAP pada masa ini ialah ‘retak menanti belah’.

Kenyataan bernada ugutan, kemarahan dan berterus terang serta tanpa berselindung tiga pemimpinnya berhubung perkembangan itu jelas menggambarkan kekecewaan mereka.

Segala-galanya bermula apabila DAP mengumumkan parti itu akan meletakkan kira-kira 30 peratus muka baru di Pulau Pinang pada pilihan raya kali ini termasuk tiga nama ‘asing’ iaitu penganalisis politik, Profesor Dr. P. Ramasamy, penyelidik politik Liew Chin Tong dan penulis blog Jeff Ooi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga hampir pasti bertanding di negeri yang sama manakala bapanya Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menyatakan minat untuk kembali mencuba nasib di negeri itu.

Guan Eng dijangka bertanding di Bukit Gelugor menggantikan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang akan berpindah ke kerusi Parlimen Bagan.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Hock Seng pula akan diletakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Puyu, Seberang Perai menggantikan penyandangnya Phee Boon Poh yang bakal dihantar ke Bagan Jermal.

Berikutan pengumuman itu Ketua Biro Pengaduan Awam DAP Pulau Pinang, Tham Weng Fatt melahirkan kemarahan dengan tindakan pemimpin DAP untuk membawa masuk calon luar bertanding di kerusi negeri dan Parlimen di Pulau Pinang.

Walaupun ia sebahagian daripada strategi DAP untuk merampas banyak kerusi Pulau Pinang atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti Barisan Nasional, langkah itu nampaknya sangat tidak disenangi oleh pemimpin DAP tempatan.

Weng Fatt yang merupakan veteran DAP Pulau Pinang merasa tindakan membelakangkan keupayaan calon-calon tempatan ibarat perbuatan ‘menikam dari belakang’.

Lima hari selepas itu Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, Fong Po Kuan yang sudah dua penggal berkhidmat di kawasan tersebut membuat satu lagi kejutan dengan mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya 8 Mac ini.

Walaupun tidak menyatakan secara terbuka punca penarikan itu, Po Kuan memberi sebab ‘politik dalaman parti’ sebagai alasannya.

Tidak habis dengan dua kes itu, Isnin lalu Boon Poh ahli politik veteran DAP yang cukup terkenal di Sungai Puyu menambahkan lagi tekanan kepada DAP dalam persiapan menghadapi pilihan raya apabila beliau mengancam untuk menarik diri atas isu yang sama ‘calon paracut’.

Beliau yang telah dua penggal memenangi kerusi itu kecewa dengan rancangan partinya untuk membuat rombakan besar-besaran dengan membawa masuk calon-calon dari luar.

Jika sebelum ini kebanyakan mereka akur, memendam rasa dan makan hati dengan segala tindakan pucuk pimpinan parti, kali ini mereka tidak lagi berdiam diri, sebaliknya bersuara dengan lantang.

Percaturan dengan meletakkan calon-calon paracut yang kononnya lebih ‘berwibawa dan menyerlah’ kelihatan seperti satu strategi bijak, tetapi ia nyata tidak boleh diterima oleh wakil rakyat dan para pengundi di kawasan terlibat.

Tidak pernah dalam sejarah DAP Pulau Pinang, para pengundi dan penyokongnya di Sungai Puyu mengadakan demonstrasi membantah kemasukan pemimpin mereka sendiri yang turut disifatkan sebagai paracut kelmarin.

Tradisi membawa calon-calon luar bertanding ke kawasan di negeri lain bukan baru malah berlaku dalam banyak parti termasuk UMNO dan Pas tetapi ia tidak begitu ketara.

Kenapa DAP kelihatan begitu terdesak sehingga terpaksa membawa masuk calon-calon luar?

Jawapannya tidak lain dan tidak bukan demi meneruskan survival politik beberapa kerat pemimpin partinya termasuk Guan Eng.

Seorang pemimpin veteran DAP yang telah berpindah parti ketika diminta mengulas perkembangan ini menganggap tindakan itu dibuat kerana para pemimpin DAP yang berkuasa mahu meneruskan hayat hidup politik masing-masing dengan bertanding pada pilihan raya.

Menurut beliau, mereka mahu bertanding tetapi bukan di sebarangan kawasan, justeru mencari kawasan yang selamat atau kubu tradisi DAP menjadi pilihan mereka.

“Pada DAP, Guan Eng, Kit Siang dan Karpal Singh dan beberapa kerat lagi pemimpin tertingginya ‘sangat penting’ dan tidak boleh kalah kerana kalah bererti pengakhiran kepada kerjaya politik apatah lagi kalau tewas di Pulau Pinang,” katanya.

Kemenangan mereka lebih mustahak daripada kemenangan calon-calon DAP yang lain termasuk yang telah lama berkhidmat dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.

Weng Fatt, Po Kuan dan Boon Poh mempunyai alasan yang kuat untuk merasa tidak puas hati dan kecewa dengan tindakan segelintir pemimpin tertinggi mereka.

Mereka bekerja menjaga kawasan bukan sebulan atau setahun malah bertahun-tahun lamanya untuk memenangi dan menawan hati para pengundi masing-masing.

Jadi apabila ada calon-calon luar bertaraf paracut yang tidak dikenali ‘rupa batang hidung’ dan ‘entah dari mana datangnya’ tiba untuk sekadar bergelar wakil rakyat, mereka berhak bersuara dan membantah.

Perkembangan baru ini sangat tidak sihat kepada DAP dalam menghadapi pilihan raya yang cukup penting bagi parti itu.

Jangan terkejut kalau DAP hilang segala-galanya di Pulau Pinang selepas 8 Mac ini.

No comments: