Friday, February 29, 2008

JANGAN GADUH

Penyokong parti tak patut bertindak macam samseng


TEMPOH berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, hanya tinggal sembilan hari lagi dan di sesetengah kawasan, kempen agak sengit sama ada membabitkan Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang dalam usaha mereka menarik hati pengundi di kawasan masing-masing. Walaupun pada pilihan raya umum kali ini tiada isu panas yang boleh mencetuskan kejadian tidak diingini, semua pihak harus sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang. Peraturan berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis harus dipatuhi bagi mengelak kekecohan antara penyokong kedua-dua pihak atau membabitkan penyokong fanatik dengan pihak berkuasa. Kita berharap pemimpin parti-parti politik yang bertanding sentiasa mengingatkan penyokong mereka supaya mematuhi peraturan, bukan mengapi-apikan lagi kemarahan yang mungkin timbul ketika berkempen sehingga penyokong bertindak di luar batas peraturan. Sehingga kini, tiada laporan kekecohan membabitkan parti politik dilaporkan berlaku dan kita berharap keadaan ini berterusan sehingga hari mengundi. Mungkin kes terpencil seperti menghalang pemimpin untuk bertemu pengundi berlaku, namun ia masih terkawal.

Sekiranya keadaan tenang ketika berkempen ini dapat dikekalkan, harapan pihak luar terutama media asing untuk menggambarkan keadaan pilihan raya di Malaysia seperti berlaku di beberapa negara ketika proses pilihan raya, tidak kesampaian. Fenomena kempen bagi pilihan raya umum dan pilihan raya kecil agak berbeza kerana ketika proses pilihan raya kecil, biasanya keadaan menjadi panas dengan pelbagai isu sama ada isu nasional atau tempatan. Ini menyebabkan penyokong dan pekerja parti cepat bertindak mengikut perasaan, terutama mereka yang datang dari luar daerah yang tidak mengenali antara satu sama lain. Berbeza dengan pilihan raya umum, penyokong dan pekerja parti biasanya mengenali antara satu dengan lain di sesuatu kawasan, cuma dipisahkan dengan fahaman politik masing-masing. Mereka memberi tumpuan kepada parti serta calon masing-masing dan selepas pilihan raya mereka boleh duduk semeja minum kopi, terutama di kawasan luar bandar. Hanya di beberapa negeri tertentu, keadaan boleh bertukar menjadi panas, berikutan persaingan sengit kedua-dua pihak untuk berkempen dan mempengaruhi pengundi.

Langkah SPR memanjangkan tempoh kempen kepada 13 hari berbanding 10 hari pada pilihan raya umum lalu, harus digunakan untuk berkempen secara tertib. Kita berharap semua pihak mengawasi tindak-tanduk terutama di kalangan penyokong supaya tidak melakukan perkara di luar batasan seperti menakutkan penyokong pihak lawan, petugas pilihan raya termasuk wartawan dan sebagainya. Jika ada sebarang tindak-tanduk melampau sehingga menyebabkan kecederaan, maka pihak yang terbabit akan bertanggungjawab kerana gagal mengawal penyokong mereka. Pilihan raya bukan landasan untuk tindakan ‘ala samseng’ tetapi satu proses untuk memilih kerajaan. Jika pemimpin parti tidak boleh mengawal penyokong mereka, bagaimana mereka boleh mentadbir negara atau negeri jika menang nanti. Berucaplah berjam-jam tetapi jangan sama sekali membenar atau membiarkan penyokong bertindak keterlaluan. Jika tidak puas hati terhadap sesuatu perkara, bincangkan dan cari jalan penyelesaian. Berkempenlah dengan penuh tata tertib dan tunjukkan amalan demokrasi di Malaysia sihat tanpa gangguan yang tidak perlu.

(Rencana Pengarang Berita Harian)

No comments: