WASHINGTON: Satu gambar Senator Barack Obama berpakaian tradisional ala Muslim ketika melawat Kenya pada 2006 yang disiarkan dalam internet mencetuskan pertengkaran dalam kempen presiden parti Demokrat Amerika Syarikat.
Bapa Obama yang sudah meninggal berasal dari Kenya dan Obama melawat negara itu pada 2006, menarik perhatian beribu-ribu penyokongnya.
Gosip dan berita dalam laman web The Drudge Report yang menyiarkan gambar itu kelmarin mendakwa gambar itu disediakan "kakitangan Hillary" dan memetik satu e-mel daripada pembantu kempen tidak dikenali. Drudge bagaimanapun tidak memasukkan bukti e-mel dalam laporan itu.
"Saya tidak pernah melihat gambar itu sebelum ini," kata jurucakap Hillary Howard Wolfson semalam. "Sudah tentu saya tidak mengetahui sama ada anggota pasukan kempen kami yang melakukannya."
Pengurus kempen Obama, David Plouffe serta merta menuduh kempen Hillary melakukan tindakan "paling memalukan, serangan yang dirancang untuk menakut-nakutkan pengundi."
Penasihat dasar luar, Susan Rice berkata, penyiaran gambar itu adalah sesuatu yang bertujuan memecah-belahkan rakyat dan berkata "cara hidup dan budaya di negara lain tidak wajar dicemuh dan dikutuk."
Pengurus kempen Hillary Maggie Williams berkata reaksi kempen Obama menyemarakkan kemarahan dan mengalih perhatian pengundi.
"Cukuplah," kata Williams dalam satu kenyataan. "Jika kempen Barack Obama mahu mengatakan bahawa penyiaran gambarnya memakai pakaian tradisi Somalia adalah sesuatu yang akan memecah-belahkan rakyat, mereka patut merasa malu. Hillary Clinton pernah memakai pakaian tradisi negara yang dilawatinya dan gambar itu disiarkan secara meluas.
"Ini tidak lebih daripada cubaan jelas dan telus untuk mengalihkan perhatian daripada isu serius yang dihadapi negara kita pada hari ini dan cubaan memecah belahkan rakyat walaupun mereka sendiri kata mahu mengelak perpecahan itu."
Dalam telepersidangan dengan wartawan, Jeneral Bersara Scott Gration, penasihat Obama yang menemani senator Illinois itu ke Kenya dua tahun lalu, berkata senator itu berada di sana untuk mempelajari bagaimana puak tempatan menguruskan diri mereka.
"Untuk tujuan itu, Senator Obama diberi satu pakaian dan sebagai tetamu beliau adalah tetamu yang baik, mengambil pakaian itu dan mereka menggalakkannya untuk mencuba," kata Gration. "Ia adalah sesuatu yang kami turut lakukan." (Berita Harian)
Wednesday, February 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment