Thursday, February 21, 2008

ABDUL RAHMAN TERKEJUT TIDAK TERSENARAI

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar terkejut apabila mengetahui namanya tidak tersenarai sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan negeri itu merupakan satu bentuk penafian terhadap kewibawaan dirinya sebagai seorang daripada pemimpin utama UMNO di Terengganu.

Kata Abdul Rahman, beliau memegang beberapa jawatan penting seperti Ketua Bahagian, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Timbalan Menteri yang tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja.

"Saya sedia menerima keputusan ini tetapi tidak bagi rakyat. Mereka berkumpul di rumah saya dan menyatakan rasa terkilan mereka mengapa saya tidak terpilih bertanding.

"Memang saya berasa amat terkejut tetapi apa yang lebih penting berita ini amat mengecewakan seluruh rakyat Terengganu dan mereka tentu sukar menerima kenyataan tersebut khususnya penduduk di kawasan saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Rahman adalah antara pemimpin yang tidak tersenarai sebagai calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) Terengganu pada pilihan raya umum ini, seperti yang diumumkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Jusoh di Kuala Terengganu hari ini.

Tempat beliau digantikan dengan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Selain beliau, terdapat dua lagi pemimpin UMNO yang digugurkan iaitu Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Pada pilihan raya umum 2004, Abdul Rahman berjaya menewaskan penyandang kerusi Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Rahman menang dengan majoriti 163 undi dan sejak itu, beliau telah digelar sebagai giant killer kerana mengalahkan Abdul Hadi.(UTUSAN MALAYSIA)

No comments: