Monday, February 25, 2008

CALON BN BAGAN DATOH KINI ADA PHD

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Senat Universiti Putra Malaysia (UPM) pada mesyuaratnya 21 Feb lepas, meluluskan pengurniaan Ijazah Doktor Falsafah (PhD)dalam bidang Komunikasi kepada Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Dr Zahid akan menerima ijazah kedoktorannya pada majlis konvokesyen UPM pada Oktober depan, kata Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah Prof Dr Hasanah Mohd Ghazali dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi menyempurnakan pengajiannya, Dr Zahid telah menyiapkan tesis bertajuk "Manifesto Barisan Nasional Sebagai Agenda Akhbar Bahasa Melayu Semasa Tempoh Kempen Pilihan Raya Umum".

Kajian tersebut dijalankan untuk mengenal pasti penggunaan manifesto Barisan Nasional (BN)sebagai agenda akhbar bahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian ketika pilihan raya umum bagi tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Dr Zahid ketika diminta mengulas mengenai pengurniaan itu berharap kejayaannya menerima PhD pada usia 55 tahun akan mendorong golongan muda untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau menyifatkan dorongan besar kepada kejayaannya berdasarkan pembelajaran sepanjang hayat dan berharap ia akan mendorong anak-anaknya untuk mengikut jejak langkah beliau.

"Saya harap kejayaan ini akan mendorong rakan-rakan politik terutamanya yang lebih muda untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kalau saya yang berumur 55 tahun boleh melakukannya, golongan muda, sepatutnya merasa tercabar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tesis yang dijalankan, Dr Zahid berkata berdasarkan kajian itu, manifesto yang disifatkan sebagai janji BN menjadi asas kepada sokongan dan kemenangan BN dalam pilihan raya umum.

Jika manifesto yang diumumkan itu menyediakan sesuatu yang baik untuk rakyat, kesimpulan akan dizahirkan melalui jumlah undi popular, seterusnya peningkatan kerusi yang dimenangi BN, katanya.

No comments: