Monday, December 5, 2011

SHAHRIZAT LETAK JAWATAN MENTERI?

Ketua UMNO Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee(gambar), meminta DS Shahrizat Jalil untuk melepaskan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membuktikan beliau lebih mementingkan parti daripada peribadi berikutan kaitannya dengan National Feedlot Corporation.

Datuk Syed Ali yang menyatakan perkara itu dalam blog UMNO Cheras hari ini, yakin tindakan itu akan dapat menyelamatkan UMNO daripada terus diserang oleh pembangkang.

Ia juga akan membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO adalah sebuah parti yang menghayati amalan yang dilaung-laungkan bukan seperti pembangkang yang walaupun ada pemimpin sudah bersalah sekalipun tidak mahu meletakkan jawatan yang dipegang.

DR RAIS YATIM MENULIS (1)

Oleh Dr Rais Yatim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 September 2011, sehari sebelum perayaan Hari Malaysia, mengumumkan Program Transformasi Kerajaan akan melibatkan perubahan dari sudut perundangan.

Pengumuman beliau di Angkasapuri yang dinanti-nanti itu melibatkan pemansuhan semua pemasyhuran undang-undang eksekutif yang menyebabkan Malaysia diprasangkakan sebagai negara yang masih di bawah pemerintahan darurat, pemansuhan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959.

Undang-undang ini telah sekian lama dipertikai dan diprasangkakan oleh pelbagai golongan hak asasi manusia sejagat lantaran tidak memberi peluang penghakiman yang bertauliah.

DS Najib juga mengumumkan penilaian dan kajian semula terhadap beberapa Akta lain yang didapati tidak lagi selari dengan perkembangan hak-hak asasi manusia. Antara undang-undang dalam kumpulan ini ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 (AP).

Tiga pemasyhuran darurat pada 1966, 1969 dan 1977 telah dimansuhkan bersekali dengan Akta Buang Negeri 1959 dalam sesi Dewan Rakyat yang baru berlangsung. ISA dan Akta Kediaman Terhad 1933 telah diumum untuk dibubar menjelang Mac 2012.

Tempoh sehingga Mac itu diperlukan kerajaan untuk membuat persediaan berkaitan kerja-kerja dan kuat kuasa peralihan. Selepas Mac 2012 dijangka Malaysia akan bebas dari perundangan kuasa eksekutif yang mengecualikan peranan penghakiman mahkamah biasa.

Langkah dan dasar berani DS Najib itu lantas menerima reaksi yang amat positif sekalipun pembangkang yang mulanya menyokong baik langkah realistik kerajaan itu tiba-tiba memilih untuk membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 dengan tindakan keluar dewan pada sesi Dewan Rakyat tanggal 29 November 2011 sebaik sahaja Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengusulkan bacaan kali ke-3 untuk kelulusan mutakhir.

Reaksi secara ‘sokong-kemudian-bantah’ itu menampakkan ketidaksungguhan pembangkang menerima realiti keadilan bahawa kerajaan BN bimbingan DS Najib sesungguhnya telah berjaya membuktikan sifat dan peranan prihatinnya terhadap undang-undang lapuk yang perlu ditiadakan demi mewujudkan keseimbangan antara hak asasi manusia dengan tanggungjawab memelihara ketenteraman awam dan kepentingan majoriti rakyat.

Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang sejak 44 tahun lampau mengawalselia hak dan kegiatan berarak-berhimpun dimansuhkan dari kuatkuasa Akta Polis 1967. Sememangnya selama ini Seksyen 27 AP yang mengawalselia semua aktiviti sivil seperti perarakan, perhimpunan aman, perjumpaan berkumpulan, ceramah serta lain-lain aktiviti politik di tempat-tempat awam atau persendirian.

Dari sejumlah 100 seksyen di dalam AP tersebut, Seksyen 27 lah yang sering dikritik dan dipertikaikan kerana ia memberi banyak kuasa pengawalan kepada polis bersekali syarat-syarat ketat di samping tiadanya ruang untuk merayu kepada pihak yang lebih tinggi.

Seksyen 27 telah membantu PDRM mengawal aktiviti songsang seperti tunjuk perasaan jalanan dan himpunan kasar kumpulan-kumpulan seperti Bersih dan lain-lain.

Kerajaan berpendapat sudah sampai masanya Seksyen 27 dimansuhkan dan diganti dengan satu perundangan khas yang baru yang mampu secara aman mengawasi aktiviti-aktiviti awam yang kontra secara lebih kemas dan adil. Dengan tiadanya lagi Seksyen 27 AP, hal ehwal polis dan kepolisan akan lebih mudah ditadbir.

Namun perkembangan ini memerlukan huraian semula agar perspektif serta objektif kenegaraan sivil dari sudut ketenteraman awam dan hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 10 dapat difahami tanpa dijadikan bahan salakan pembangkang atau mereka yang sengaja suka memutarbelitkan sesuatu isu semata-mata hendak menyumbatkan gol politik masing-masing.

Dalam pada itu Seksyen 27 Akta Polis 1967 amat penting difahami berkaitan kuasa-kuasa mengawalselia perhimpunan, politik jalanan, perjumpaan dan perarakan yang dibenarkan di bawahnya.

Inilah undang-undang yang digubal dan dipinda beberapa kali semenjak 1967 untuk memberi kuasa kepada Polis di-Raja Malaysia (PDRM) mengawal ketenteraman awam sebelum, semasa dan selepas mana-mana pihak mengadakan perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang melibatkan lebih daripada lima orang sama ada dalam bentuk tunjuk perasaan jalanan atau di tempat-tempat tertentu.

Seksyen 27 AP yang dipinda secara menyeluruh pada tahun 1988 memberi kuasa amat luas kepada Pegawai Penjaga Daerah Polis dalam menentukan cara dan kaedah mengawal perhimpunan, perjumpaan atau perarakan di tempat-tempat awam.

Pegawai polis itu berkuasa penuh memberi lesen atau sebaliknya berkaitan sesuatu permohonan mengadakan perhimpunan, perjumpaan atau perarakan di tempat-tempat awam seperti jalan, padang, tempat letak kereta dan sebagainya. Lesen berkenaan mesti dibuat oleh sesuatu pertubuhan atau oleh tiga orang individu.

AP juga melarang pegawai polis berkenaan memberi lesen berkenaan jika mereka didapati mewakili kepentingan sesuatu pertubuhan. Jika sesuatu badan yang membuat permohonan lesen tersebut, mesti dibuktikan bahawa pertubuhan berkenaan sedia terdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau mana-mana kuatkuasa undang-undang Malaysia yang lain.

Dengan berkuatkuasanya 14 pindaan AP pada 1988, kuasa PDRM semakin meningkat dan menyeluruh. Di bawah Seksyen 27A baru, rakyat juga dilarang mengadakan perjumpaan, tunjuk perasaan, perhimpunan atau perarakan di premis-premis selain kawasan awam.

Jika sesuatu aktiviti berkumpulan 20 orang atau lebih dan boleh didengar atau disaksikan dari luar premis berkenaan, PDRM boleh mencegah atau menghentikan aktiviti itu.

Kesalahan yang mengingkari Seksyen baru ini boleh didenda oleh mahkamah antara RM2,000 hingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi 1 tahun. Polis juga boleh menggunakan ‘kekerasan’ jika perlu dalam tanggungjawab melerai atau menghentikan aktiviti tersebut.

Penggunaan alat pelaung, bunyi-bunyian atau muzik juga boleh ditegah oleh PDRM mengikut budibicaranya di bawah AP. Prosedur-prosedur mendapatkan kebenaran berlesen ini melibatkan banyak tingkat dan kerenah birokrasi. Ruang penggunaan budi bicara pihak polis juga luas tanpa kemudahan merayu kepada pihak yang lebih berkuasa.

Malah seseorang yang dihadapkan ke mahkamah sabit pertuduhan di bawah Seksyen 27 atau 27A tidak dibenarkan membuat pengakuan seperti mana biasa halnya dengan sesuatu pertuduhan jenayah.

Dengan keadaan sedemikianlah maka tentangan terhadap Seksyen 27 Akta Polis itu begitu banyak dizahirkan oleh individu dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dengan lumrahnya kebangkitan isu-isu hak asasi manusia global khasnya lonjakan “Arab Spring” akhir-akhir ini serta goncangan menentang sistem pentadbiran yang berat sebelah maka Seksyen 27 AP dilihat sebagai mengandungi kuasa-kuasa keterlaluan.

Apatah lagi, Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia sedia menjamin hak warganegara berhimpun secara aman tanpa senjata walaupun Parlimen dibenarkan pula di bawah Perkara 10(2) membuat undang-undang mengehadkan kebebasan bersuara, menubuhkan persatuan atau berhimpun secara aman demi menjaga keselamatan atau ketenteraman awam atau akhlak. Sesungguhnya Seksyen 27 AP diperbuat pada 1967 dan dipinda pada 1988 atas syarat tersebut.

Dengan keinsafan kerajaan tadbiran Najib, amat berpatutan jika suatu perundangan baru diwujudkan bagi menggantikan Seksyen 27 demi kesejahteraan dan keadilan sosial dalam konteks menterjemahkan iltizam Gagasan 1Malaysia yang mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Maka Jabatan Peguam Negara dengan bantuan pelbagai pihak lantas membuat kajian dan gubalan yang cermat.

Model-model perundangan perhimpunan awam di Australia, New Zealand, Britain dan lain-lain negara maju dikaji rapi. Antara 15 September dan awal November tahun ini sambil ‘membakar lilin hingga ke dinihari’ Jabatan Peguam Negara dengan bantuan pakar dalaman dan luaran berjaya membentuk Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 (UUPA) dan akhirnya pada 29 November dibentangkan di Dewan Rakyat.

UUPA menelurkan cita-cita masyarakat murni untuk lebih demokratik, lebih menghormati hak-hak asasi manusia yang berpatutan dan adil. Mukadimah UUPA amat jelas - “Suatu Akta berhubung hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, dan memperuntukkan sekatan-sekatan… perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain…”

Sementara mengiktiraf hak individu dan kumpulan untuk berhimpun atau berarak atau mengadakan perjumpaan, UUPA pada masa sama mengiktiraf hak orang ramai untuk menikmati harta benda mereka secara aman tanpa dirosakkan oleh penganjur; hak menikmati persekitaran semula jadi; hak menjalankan perniagaan tanpa kekacauan dan hak awam untuk bergerak bebas; hak supaya kanak-kanak tidak disalahguna di dalam mana-mana aktiviti tunjuk perasaan beramai-ramai seperti mana pernah berlaku dalam perhimpunan haram Bersih baru-baru ini.

Penganjur di bawah s.6 UUPA memang dikenakan syarat-syarat yang berupa tanggung jawab supaya tidak menyakiti hati mana-mana pihak, tidak membuat pernyataan yang membawa kesan jahat atau permusuhan di kalangan orang awam atau menyemarakkan ketegangan awam.

Warganegara asing dilarang mengadakan aktiviti sivil berkenaan.

UUPA mengizinkan kebebasan mengadakan tunjuk perasaan, berucap, berarak atau berhimpun di tempat-tempat awam yang dikhaskan. Notis aktiviti yang kena dipatuhi demi keselamatan dan ketenteraman awam hanya 10 hari sebelum mengadakan aktiviti.

Demi kepentingan awam, aktiviti-aktiviti hak sivil berkenaan tidak dibenarkan di tempat-tempat seperti hospital, stesen minyak, pelabuhan, tempat ibadat, tadika dan sekolah, balai bomba, empangan dan beberapa kawasan atau tempat awam yang dijangka mencetus bahaya kepada kepentingan, keselamatan atau ketenteraman awam.

Dalam tempoh lima hari pihak polis dikehendaki memaklumkan syarat-syarat yang kena dipatuhi oleh penganjur. Dan dalam tempoh 24 jam dari masa penerimaan notis mengadakan sesuatu aktiviti, polis disyaratkan memaklumkan kepada pihak-pihak yang berkepentingan di sekitar kawasan perhimpunan atau perarakan itu.

Ini adalah sebagai menghormati hak asasi awam pada pihak orang ramai di sekitar kawasan atau tempat yang hendak diadakan aktiviti berkenaan.

Pada masa sama, hak dan kebebasan majoriti masyarakat di sekitar kawasan dijamin.

Paling berimbang ialah penganjur yang terkilan boleh merayu kepada menteri berkenaan jika syarat-syarat yang dikenakan PDRM tidak munasabah atau tidak adil.

(Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan)