Wednesday, February 6, 2008

10 BARANG KAWALAN TIDAK BOLEH KELUAR

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Sepuluh daripada 20 jenis barangan kawalan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 tidak lagi dibenarkan dibawa keluar melalui pintu masuk negara di sempadan, termasuk pelabuhan dan lapangan terbang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN dan HEP) mengumumkan hari ini.

Menterinya Datuk Mohamed Shafie Apdal berkata sepuluh barangan yang tidak boleh dibawa keluar itu ialah gula, tepung gandum, minyak masak, simen dan klinker (kecuali ada permit), petrol, spirit motor dan gasoline motor dari semua gred, bahanapi diesel, gas petroleum cecair, bar bulat keluli lembut, ayam serta baja.

"Langkah ini diambil bagi memastikan bekalan barang kawalan sentiasa mencukupi dan juga bagi memastikan rakyat negara ini menikmati subsidi yang diberi untuk barang tersebut.

"Harga runcit barang kawalan tersebut adalah lebih rendah berbanding harga di negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata paras harga rendah di Malaysia kerana barang kawalan seperti diesel, petrol, gas petroleum cecair dan tepung gandum mendapat subsidi daripada kerajaan manakala minyak mendapat subsidi melalui ses yang dikutip daripada tuan punya ladang kelapa sawit dalam negara.

Shafie berkata perbezaan harga yang ketara antara Malaysia dengan negara jiran menyebabkan berlakunya penyeludupan keluar di sempadan Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Sarawak.

Mengikut perbandingan harga barangan yang dikeluarkan kementerian itu, harga sekilo tepung di Malaysia adalah RM1.35 berbanding di Indonesia (RM1.90), Thailand dan Filipina (RM2.10) serta Singapura (RM2.30).

Harga sekilo gula di Malaysia adalah RM1.45, Indonesia (RM2.32), Thailand (RM1.84), Filipina (RM2.92) dan Singapura (RM3.28). Harga sekilogram minyak masak di Malaysia adalah RM3.30, Indonesia (RM3.61), Thailand (RM4.76), Filipina (RM4.27) dan Singapura (RM6.80).

Harga ayam di Malaysia pula adalah RM6.70 sekilogram berbanding RM17.52 di Singapura. Harga diesel seliter di Malaysia adalah RM1.58 berbanding dengan Indonesia (RM1.68), Thailand (RM2.19), Filipina (RM2.50) dan Singapura (RM3.15) manakala harga seliter petrol (RON 97) adalah RM1.92 di Malaysia berbanding Indonesia (RM2.31),Thailand (RM2.49), Filipina (RM2.69) dan Singapura (RM3.86).

Harga seliter petrol RON 92 di Malaysia ialah RM1.88, Indonesia (RM2.27), Thailand (RM2.41), Filipina (RM2.64) dan Singapura (RM3.67) manakala harga gas petroleum cecair sekilogram berharga RM1.75 di Malaysia, RM 1.63 di Thailand dan RM2.86 di Filipina.

"Sebagai langkah kawalan, kesemua sepuluh barangan itu akan diwartakan sebagai barang kawalan larangan eksport bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi," kata Shafie.

Beliau berkata kementerian itu dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di sempadan seperti polis, Jabatan Kastam, Unit Pencegahan Penyeludupan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Angkatan Tentera dan Lembaga Minyak Sawit telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi mempertingkatkan kawalan di sempadan negara.

Antara langkah yang telah diambil termasuk:

* menetapkan barang kawalan itu sebagai barang yang dilarang untuk eksport. Pengeksportan hanya dibenarkan dengan kebenaran Pengawal Bekalan atau Agensi Kerajaan berkaitan;

* mewujudkan suatu kawasan khas yang ditentukan bagi aktiviti pengeksportan;

* menjadikan suatu kawasan bebas cukai sebagai kawasan larangan mengeksport barang;

* melarang pembinaan bangunan di sepanjang Sungai Golok di Kelantan yang diwartakan sebagai rizab di bawah Jabatan Pengairan Sungai;

* mewujudkan zon penampan di kawasan tertentu di sempadan;

* mengadakan sekatan jalan raya bagi memudahkan pemeriksaan ke atas kenderaan yang disyaki membawa barang kawalan terutama menuju ke kawasan sempadan;

* minyak masak hanya dibenarkan untuk dieksport dalam bentuk pukal sahaja;

* mengkaji semula lesen yang dikeluarkan olek KPDN dan HEP; dan

* pindaan undang-undang termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memperuntukkan kuasa yang lebih berkesan daripada segi penguatkuasaan di kawasan sempadan termasuk kuasa memeriksa dan memberhentikan kenderaan serta kapal.

Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana individu, pengarah, pegawai atau syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berikutnya denda yang dikenakan tidak melebihi RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai penyeludupan barang kawalan boleh melaporkan kegiatan tersebut ke KPDN dan HEP melalui e-mail: e-aduan@kpdnhep.gov.my atau khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 32255 atau talian bebas tol 1800 886 800 atau di mana-mana pejabat kementerian di seluruh negara.

No comments: