Wednesday, February 20, 2008

HENTAM KERAJAAN DALAM BLOG BUKAN BUDAYA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata penulis blog perlu menilai diri sendiri sebelum mahu menghidupkan budaya mencemuh orang lain di negara ini.

Katanya walaupun budaya menghentam kerajaan dalam laman blog adalah antara cabaran yang dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum, ia bukanlah budaya BN dalam berkempen dan memenangi pilihan raya.

"Mereka menghentam Perdana Menteri, menteri dan anggota pentadbiran tetapi yang mereka tak hentam adalah diri mereka sendiri. Dalam peribahasa Melayu kita menunjuk jari telunjuk ke depan, ibu jari menunjuk ke dada.

"Jadi saya nak kata sekarang tengoklah dada sendiri dahulu bagaimana bersih atau tidak jika tidak (bersih) jangan buat blog," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku dan cakera padat 'Aku Dia Dan Lagu-Lagu Nostalgia Lirik' oleh Yusnor Ef di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini, hari ini.

"Sekarang ini bukan sahaja penulis blog kepalanya kena block (terganggu) tetapi Mursyidul Am Pas (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun kepalanya sudah agak block (kurang waras) juga apabila beliau berkata orang-orang Melayu di dalam BN adalah orang Utan.

"Tindakan penulis blog kini semakin menjadi-jadi dan pada pandangan saya mudah, musim (pilihan raya) ini adalah musim mencemuh orang, membunuh orang dengan kata-kata tetapi itu bukan budaya kami (BN). Saya sarankan mereka menjalani kursus budi bahasa kerana budi bahasa itu budaya kita," katanya.

Sementara itu, Rais berkata satu biasiswa dalam bidang muzik dengan peruntukan RM15 juta akan diwujudkan tidak lama lagi bagi melahirkan lebih ramai karyawan yang berkelayakan dalam bidang muzik.

Beliau berkata biasiswa itu diwujudkan untuk memberi peluang kepada rakyat negara ini menceburi bidang muzik secara serius.

"Ramai orang yang berbakat tidak mampu untuk mengasah bakat mereka secara formal. Oleh itu kita akan wujudkan biasiswa itu.

"Justeru kita akan gunakan (dana itu) sebaik mungkin dan ia tidak terhad pada muzik pop sahaja tetapi merangkumi muzik tradisional, muzik rakyat dan juga meningkatkan kebolehan penulis lirik", katanya.

Aswara, Istana Budaya dan Jabatan Kesenian Negeri akan diberi tanggungjawab untuk merangka program biasiswa berkenaan bagi dibuka kepada orang ramai, katanya.

No comments: