Tuesday, January 8, 2008

MEDIA INDONESIA DAN MALAYSIA PERLU KAWAL DIRI

SHAH ALAM, 7 Jan (Bernama) -- Media di Indonesia dan Malaysia perlu mempunyai sikap mengawal diri dalam penyiaran atau laporan yang mungkin memburukkan hubungan dua hala, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

"Jika ada perkara-perkara negatif atau tidak disenangi pihak Malaysia atau Indonesia, pengamal media haruslah menghormati perasaan ini (sensitiviti)," kata beliau.

Umpamanya, beliau berkata laporan akhbar tempatan memanggil sesuatu tempat yang dikatakan banyak maksiat sebagai "Mini Bandung" memberi gambaran yang tidak baik kepada kota Bandung di Indonesia.

"Sedangkan orang Malaysia pergi ke Bandung untuk membeli-belah kain dan jeans yang boleh dibeli dengan harga yang murah di sana," katanya pada sidang media selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Hubungan antara Malaysia dan Indonesia: Satu Harapan" pada Dialog Malindo 2008 di sini hari ini.

Dialog dwitahunan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) yang dihadiri kira-kira 400 peserta, berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Zainuddin juga berkata beliau tidak bersetuju dengan pendapat media Indonesia bahawa media Malaysia juga bebas untuk mengkritik Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono atau pemimpin Indonesia yang lain.

Katanya ini bukanlah amalan media Malaysia untuk mengkritik atau menyinggung perasaan pemimpin Indonesia.

Zainuddin berkata banyak lagi aspek yang perlu dipelajari tentang satu sama lain antara rakyat kedua-dua negara dan salah satu daripada caranya ialah menerusi program pertukaran wartawan.

Katanya kementeriannya telah mengorak langkah ke arah itu termasuk menerima banyak wartawan Indonesia untuk dilatih dalam aspek kejuruteraan dan kewartawanan di RTM dan menganjurkan lawatan untuk rombongan dari Indonesia dari semasa ke semasa.

Beliau berkata program pertukaran wartawan juga dikendalikan oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM).

Sementara itu, Pemangku Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tatang B. Razak berkata lebih banyak forum seperti Dialog Malindo perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi merapatkan jurang persepsi antara generasi muda kedua-dua negara.

Katanya kebanyakan rakyat Malaysia beranggapan orang Indonesia hanya buruh binaan dan pembantu rumah sedangkan rakyat Indonesia juga bekerja sebagai ekspatriat di banyak negara termasuk Malaysia.

No comments: