Sunday, June 1, 2008

13 INISIATIF HADIAH UNTUK SABAH

KOTA KINABALU 31 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan 13 inisiatif sebagai ‘hadiah’ daripada Kerajaan Persekutuan berikutan sumbangan besar negeri ini kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Antara inisiatif itu ialah memansuhkan serta-merta Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) yang diwujudkan semasa pembangkang memerintah Sabah 17 tahun lalu, yang mana ia amat dinantikan oleh rakyat negeri ini.

Serentak dengan pemansuhan itu, 207 daripada 292 perjawatan yang ada diserapkan ke Pejabat Daerah dan menjalankan tugas di bawah Pejabat Pembangunan Negeri (SDO).

Abdullah berkata, meskipun dipindahkan di bawah pentadbiran negeri, kerajaan Pusat tetap menanggung pembayaran gaji mereka selama dua tahun dengan kos keseluruhan RM1.69 juta.

“Dengan pemansuhan JPPS, SDO Sabah seperti negeri lain perlu menguruskan peruntukan khas Perdana Menteri dan juga memantau pelaksanaan projek-projek,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan parti-parti komponen BN dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan, di sini hari ini.

Pengumuman hari ini juga adalah rentetan pertemuan antara Perdana Menteri dengan wakil UMNO dan parti-parti komponen BN pada 7 April lalu bagi mendengar sendiri pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk isu JPPS, pendatang asing tanpa izin (PATI) serta perjawatan anak negeri dalam jabatan Persekutuan.

Sementara itu, sebagai memenuhi isu perjawatan, Abdullah mengumumkan pelantikan anak Sabah, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon sebagai Naib Canselor baru Universiti Malaysia Sabah berkuat kuasa 18 Jun ini menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin yang bersara.

Sementara seorang lagi anak Sabah, Yusof Saringgit akan menjawat Pegawai Kewangan Persekutuan yang baru.

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju melaksanakan skim tukar lantik dengan pegawai perkhidmatan negeri ditawar menyertai perkhidmatan awam Persekutuan di peringkat tinggi dan pertengahan,” katanyai.

Perdana Menteri berkata, bagi melancarkan lagi program pembangunan di Sabah, satu panel akan diwujudkan dalam usaha memperkemaskan fungsi bertindih antara agensi Persekutuan dan negeri.

Katanya, panel itu dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Persekutuan Sabah.

Menurut beliau, begitu juga perancangan pembangunan projek akan diselaraskan antara Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan input sebelum sesuatu projek diluluskan.

Mengenai desakan supaya kerajaan Pusat menangani dengan lebih serius masalah PATI, Abdullah berkata, bilangan Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah akan ditambah daripada tiga kepada lima termasuk membina dua lagi pusat tahanan baru iaitu di Papar dan Sandakan.

Sementara itu, Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut ditubuhkan bagi membincangkan masalah PATI dengan lebih berkesan terutama masalah pemegang dokumen IMM13 di Sabah.

Menyentuh mengenai projek pembangunan menyeluruh, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan RM18.46 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu kedua terbesar berbanding negeri lain.

“Pada masa ini, agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya telah diberi tanggungjawab melaksanakan projek-projek tersebut yang bernilai RM3.4 bilion.

“Serentak itu, Kabinet telah meluluskan peruntukan RM1 bilion daripada peruntukan khas Perdana Menteri untuk pembangunan luar bandar yang akan diagih mengikut keperluan,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai permintaan pengagihan peruntukan Kerajaan Pusat yang lebih seimbang, Abdullah berkata, Kabinet juga bersetuju supaya agihan perlu dilaksanakan mengikut jumlah penduduk iaitu merangkumi wajaran 35 peratus, keluasan negeri (wajaran 35 peratus) dan tahap pembangunan dan kadar kemiskinan (wajaran 30 peratus).

Menurut beliau, dengan itu, kedudukan Sabah yang luas akan mendapat pembelaan yang lebih wajar bagi membolehkan program pembangunan dapat disusun mengikut keperluan rakyat. - UTUSAN MALAYSIA.

1 comment:

Apanama said...

Inilah tanda-tanda ahli politik yang amat TERDESAK, yang sanggup menggadaikan apa saja untuk survival politik-nya.
Bukan rakyat Sabah tidak berhak tetapi cara 'holding for ransom' yang di-gunapakai adalah amat memalukan.
Bila pemimpin tiada nilai-nilai kepimpinan dan amat mudah diperalatkan oleh sesiapa sahaja, inilah hasil-nya.
Kita tunggu apa pula permintaan atau lebih tepat 'DESAKAN' pihak2 lain.
Lepas ni Abdullah Ahmad Badawi harus memenuhi desakan Sarawak pula.
Dengar cerita saudara PM kita akan meluluskan 20% royalty minyak untuk Bumi Kenyalang dan melantik beberapa KETUA PENGARAH KEMENTERIAN dari kalangan orang Sarawak.
Sarawak juga, ikut tela'an rakan2, amat berminat menduduki jawatan tinggi di Kementerian Kewangan.
PM kita ni memang best, tapi jangan la sampai di-akhir perjalanan nanti beliau hanya tinggal seluar dalam berlubang jer untuk orang Johor, Pahang dan lain2 kubu kuat BN.