Monday, June 23, 2008

SUKUN DIMINTA HENTI TUDING JARI

Oleh Raja Syahrir Abu Bakar

KUALA LUMPUR 22 Jun - Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon diingatkan supaya berhenti 'menuding jari' kepada pihak lain sebaliknya bersikap berani dengan menerima kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Azimi Daim berkata, kenyataan Tsu Koon berkenaan 'dominasi' UMNO dalam Barisan Nasional (BN) boleh menimbulkan polemik serta mengundang publisiti murahan yang sia-sia.

Katanya, soal dominasi sesuatu parti di dalam BN seperti yang didakwa sebenarnya tidak timbul kerana BN adalah gabungan kerjasama pelbagai kaum di negara ini.

''Justeru semua parti komponen dalam BN perlu menumpukan kepada khidmat juang masing-masing, bukannya menuding jari kepada komponen lain untuk melepaskan diri daripada dikritik kaum atau ahli sendiri," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Semasa berucap pada program bual bicara Gerakan Selangor semalam, Tsu Koon menggesa UMNO supaya menghentikan 'dominasinya' di dalam BN bagi memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada gagasan itu.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang turut meminta UMNO berubah dengan memberikan peluang kepada golongan liberal Melayu menerajui kepimpinan parti itu.

Azimi menambah, kenyataan Tsu Koon itu memperlihatkan beliau kini mengarut dan mengalami kecelaruan pemikiran akibat tersentak dengan keputusan pilihan raya umum lalu yang menyaksikan Pulau Pinang terlepas ke tangan DAP.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salim Bari pula berkata, Tsu Koon perlu melakukan kajian yang mendalam mengenai kelemahan dan kekuatan parti pimpinannya itu.

''Hasil kajian itu pasti dapat digunakan untuk memperkukuhkan Gerakan dan memastikan BN kembali menerajui pemerintahan khususnya di Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, sebagai orang yang pernah memimpin sebuah kerajaan negeri dan kini menerajui Gerakan, Tsu Koon harus lebih bertanggungjawab membawa parti dan ahli ke arah kemajuan.

''Adalah lebih bijak jika beliau memfokuskan kepada usaha memulihkan keyakinan rakyat kepada Gerakan, bukan berkonfrontasi dengan parti komponen yang lain," ujarnya.

No comments: