Monday, June 30, 2008

UTUSAN TIDAK RACIST

KEPUTUSAN kerajaan pakatan rakyat Pulau Pinang dan Perak memboikot akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan merupakan sesuatu yang biasa. Ia juga terjadi kepada akhbar-akhbar lain sekiranya tidak sesuai dengan cita rasa seseorang atau kumpulan-kumpulan tertentu.

Tetapi alasan yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin Melayu kerajaan pakatan rakyat bagi kedua-dua negeri itu agak luar biasa. Utusan didakwa menggalakkan perkauman. Dengan memboikot akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan orang-orang Melayu negeri Perak khususnya, tidak akan terpengaruh dengan sikap Utusan yang racist.

Persoalannya apakah kerana Utusan memperjuangkan hak-hak Melayu maka ia didakwa racist. Bagaimana pula dengan laman-laman web dan blog- blog yang semakin lantang mempersoal apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu dan Islam.

Tidak mungkin pemimpin-pemimpin Melayu pakatan rakyat tidak membaca laman-laman web serta blog-blog seperti ini. Takkanlah mereka tidak sedikit pun kecil hati.

Sebagai anak jati Perak, lahir di sebuah kampung kecil (tidak jauh dari kawasan Undangan Negeri yang diwakili Menteri Besar) dua tahun selepas Jepun menyerah kalah, pengalaman penulis dengan golongan yang lahir ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sudah tentu banyak perbezaannya.

Begitu juga pengalaman penulis dan orang-orang kampung dengan akhbar keluaran Utusan Melayu. Ketika mula pandai membaca jawi (sekolah Melayu mengajar jawi dan rumi) Utusan Melayu sahajalah merupakan surat khabar yang ada dan dibaca orang budak-budak sekolah Melayu dan orang kampung penulis.

Penulis sendiri tidak pernah melihat akhbar-akhbar bahasa Inggeris. Tidak ada seorang pun orang kampung penulis yang memahami bahasa Inggeris di tahun-tahun 50-an. Setakat yes, no, alright tu adalah. Itupun ditiru dari filem-filem Hollywood yang ditayangkan di balai polis berdekatan kampung.

Selain daripada orang-orang Melayu terdapat dua tiga keluarga Cina yang juga membaca Utusan Melayu di kedai kopi Melayu (satu-satunya). Keluarga Cina ini tidak boleh membaca Cina kerana mereka belajar di sekolah Melayu.

Melalui Utusan Melayu penulis mula mengenali dan memahami politik Malaya di kala umur masih terlalu muda. Utusan juga mengajar penulis tentang politik antarabangsa khususnya masalah Palestin dan Asia Barat.
Penulis masih ingat reaksi kami budak-budak kampung ketika tercetusnya perang Terusan Suez tahun 56. Nama Presiden Nasser, meniti dibibir kami.

Tidak dinafikan Utusan memainkan peranan cukup penting dalam rencana semangat nasionalisme orang-orang Melayu. Malahan tidak kurang pula orang-orang Melayu yang belajar politik melalui akhbar ini.
Kalau hendak dikatakan Utusan menggalakkan perkauman penulis agak sangsi oleh kerana dasar syarikat Utusan dari dahulu hingga sekarang tidak banyak berubah. Takkanlah usaha-usaha Utusan mewujudkan perpaduan dan berjuang untuk hak-hak Melayu dianggap perkauman.

Bagaimana dengan akhbar-akhbar etnik lain yang membuat tuntutan selain daripada memainkan isu sesuatu kaum tertentu. Tidakkah mereka juga boleh dianggap perkauman.

Perjuangan Utusan terhadap orang- orang Melayu adalah satu realiti. Ia diturunkan melalui tulisan, digambarkan melalui lukisan, cerpen dan sajak-sajak. Hakikatnya Utusan melahirkan ramai sasterawan, budayawan juga pejuang kemerdekaan.

Penulis masih ingat setiap hujung bulan ayah akan ke Taiping mengambil gaji (bekerja sebagai buruh jalan enam kaki-jalan negeri). Selain daripada daging kerbau dan lembu (daging tidak dijual di kampung penulis dianggap bahan mewah) ayah akan membawa balik akhbar Utusan Melayu.

Sayang sekali generasi Melayu yang dilahirkan selepas merdeka tidak berpeluang membaca kartun bersiri Utusan Melayu iaitu Dol Keropok dan Wak Tempeh yang cukup menggelikan hati.
Di kala itu radio dianggap bahan mewah dan di kalangan orang Melayu kampung penulis tidak sampai 10 buah rumah yang mempunyai radio. Sesiapa yang tidak ada radio seperti penulis akan ke kedai kopi setiap hari untuk membaca Utusan Melayu. Seringkali terpaksa menunggu sehingga orang dewasa habis membaca. Itulah hubungan erat penulis dengan Utusan Melayu.

Kerajaan pakatan rakyat tidak sepatutnya memboikot akhbar-akhbar keluaran Utusan semata-mata tidak bersetuju dengan pendapat yang disiarkan. Bukankah kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar menjadi asas perjuangan pakatan rakyat.

Kebebasan bersuara bukan bermakna menganggap pendapat kita sahaja yang betul sementara orang lain semuanya salah.

Memboikot akhbar Melayu bermakna juga memboikot bahasa Melayu. Paling malang kalau ia dengan niat menjahanamkan syarikat Melayu dan perbuatan itu berpunca daripada perbezaan politik.
Tetapi usaha-usaha ini pasti akan sia-sia. Pegawai-pegawai kerajaan masih boleh lagi membaca akhbar-akhbar keluaran Utusan dari Internet. Pembaca yang tidak memahami bahasa lain dari Melayu akan terus membaca akhbar-akhbar Melayu termasuk Utusan.

Sebenarnya kalau nak tahu hati budi musuh kita (kalau Utusan dianggap musuh oleh kerajaan pakatan rakyat Perak dan Pulau Pinang) dekatilah mereka. Kalau tidak mana nak tahu apa yang mereka (musuh) lakukan.
Di Amerika Syarikat (AS) ada akhbar-akhbar yang menyokong Parti Demokrat dan tak kurang pula yang menyokong Republikan. Tapi tidak kedengaran pula boikot memboikot akhbar oleh mana-mana parti politik. Jelas sekali kedewasaan mereka berpolitik.

No comments: