Monday, June 16, 2008

GLC KETEPI FIRMA PENGIKLANAN MELAYU

Oleh PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF,
(Pusat Pengajian Komunikasi USM, Pulau Pinang)

ISU memperkasakan jati diri usahawan Melayu bermula dengan komitmen kita sebagai pemegang amanah dan agensi pelaksana. Dalam hubungan ini, dasar dan prinsip kita ialah membantu kerajaan memakmurkan rakyat dengan sistem serta dasar dipersetujui.

Salah satu dasar penting ialah dasar pengagihan kemewahan negara menerusi misi nasional. Teras ketiga ialah keadilan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang adil dan sama rata.

Malangnya, tindakan agensi amanah dalam bentuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) amat mengecewakan apabila ibarat sokong membawa rebah? Kenapa hal ini berlaku kerana ramai daripada mereka yang menerajui GLC tidak berpijak di bumi nyata.

Sebagai contoh, dalam industri komunikasi pemasaran (industri pengiklanan) kita masih kecewa dengan sikap dan perilaku mereka meminggirkan syarikat Bumiputera dalam hal membela nasib mereka. Bukan saja mereka (syarikat pengiklanan Bumiputera) diketepikan, bahkan tidak dipertimbangkan sebagai subkontraktor mengendalikan kegiatan promosi dalam bentuk pengiklanan dan perhubungan

Misalnya, baru-baru ini syarikat iklan Bumiputera yang bertauliah langsung tidak diundang Proton, sebagai syarikat amanah kerajaan, untuk membida projek kempen komunikasi pemasaran bagi kempen 2009.

Malah, syarikat iklan asing diundang dan dipertimbangkan untuk kempen 2008. Kenapa perlu berlaku sedemikian sedangkan asas penubuhan GLC selain mentransformasikan ekonomi negara sewajarnya membantu pencapaian dasar ekonomi negara dan kini memperkasakan misi nasional?

Sebagai contoh, jika kita kaji kedudukan pasaran dan pendapatan iklan syarikat iklan Bumiputera, pencapaian kita masih jauh daripada 20 peratus berbanding dengan syarikat asing? Hanya GLC dan kerajaan yang mampu menyelamat dan memperkasakan syarikat iklan Bumiputera, bukan pelanggan asing yang masih menebal perasaan patriotisme mereka.

Kita tidak boleh mengharapkan pelabur asing dan syarikat luar asing membantu kita dalam hal ekonomi negara. Malah, jaringan mereka tetap mengalirkan dana dan ekonomi kepada subkontraktor dan syarikat mereka masing-masing.

Nasionalisme ekonomi mereka amat kuat lagi ampuh dan malangnya, perasaan nasionalisme kita masih rapuh lagi tidak meyakinkan.

Justeru, saya meminta kerajaan menerusi agensi berwajib membuat audit pendapatan iklan dan segera menubuh Majlis Iklan Negara dan menggubal Dasar Pengiklanan Negara semoga ketempangan dan dilema agensi iklan Melayu dapat ditangani dengan saksama lagi profesional.

Tiada apa yang boleh membantu kita selain pribumi – sebuah persatuan agensi iklan Bumiputera diperkasakan. GLC mesti mengutamakan syarikat Bumiputera dalam kerja promosi dan kempen bersepadu mereka tanpa ragu.

Kita tidak mahu, hasil bumi negara diraih dan diperah oleh syarikat asing yang pasti tidak dapat membantu modal insan Bumiputera sekali gus memperkasakan jati diri anak bangsa. Kita tidak mahu dinafikan hak kerana jihad ekonomi dikesampingkan dan jihad lain diutamakan.

Jika Indonesia mewajibkan pembikinan tempatan dalam hal ehwal iklan dan pemasaran, kenapa kita masih dibelenggu fobia dan penjajahan minda yang amat terpesong. Kita tidak mahu, `kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'. Maka, baliklah ke pangkal jalan dan Majlis Iklan Negara segera ditubuhkan.

(Sumber : Surat Pembaca Berita Harian - 16/6/2008)

No comments: