Monday, June 23, 2008

CADANGAN NAIK GAJI PEGAWAI TINGGI GLC DITOLAK

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kerajaan hari ini menolak cadangan untuk menaikkan gaji pegawai tinggi syarikat milik kerajaan (GLC).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, walaupun cadangan mengenainya telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan, ia bagaimanapun tidak mendapat kelulusan.

“Semua cadangan untuk kenaikan itu dikemukakan kepada Perbendaharaan dan Perbendaharaan telah buat keputusan untuk tidak meluluskan cadangan-cadangan itu,” katanya tanpa mengulas lanjut sebab penolakan tersebut.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas Penstrukturan Semula Subsidi Minyak Kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Angkasapuri di sini hari ini.

Taklimat yang berlangsung lebih tiga jam itu turut dihadiri oleh anggota Dewan Negara BN, anggota Kabinet dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini media melaporkan terdapat cadangan untuk menaikkan gaji pegawai tinggi GLC sehingga sebanyak 100 peratus.

Antara yang dilaporkan terlibat dengan cadangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja yang menyifatkan ia sebagai tidak sensitif dengan keadaan kelembapan ekonomi semasa yang memerlukan rakyat berjimat cermat.

Cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad ketika mempertahankan cadangan itu mengemukakan alasan tindakan tersebut dilakukan selepas pertimbangan secara berhati-hati selain usaha mengekalkan tenaga mahir yang ada dalam GLC.

No comments: