Sunday, June 22, 2008

ZAKRY & FAIRUZIZUAN JUARA DI INDONESIA

Oleh Mohd Nasir Yusoff

JAKARTA, 22 Jun (Bernama) -- Gandingan Mohd Zakry Abdul Latif/ Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari muncul juara acara beregu lelaki pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia setelah menundukkan pasangan Candra Wijaya/Tony Gunawan pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno di sini Ahad.

Zakry/Fairuzizuan bangkit daripada kekalahan set pertama bagi menewaskan gandingan Indonesia-Amerika Syarikat itu 19-21, 21-18, 21-14 untuk membawa pulang hadiah wang tunai US$17,250 (kira-kira RM53,475).

Minggu lepas, Zakry dan Fairuzizuan, yang menduduki tangga ke-11 dunia, memenangi kejuaran Terbuka Singapura mengalahkan rakan senegara Gan Teik Chai/Lim Woon Fui."Saya gembira kerana tahun lalu hanya sampai ke perlawanan akhir dan tahun ini pula mampu meraih kejuaraan.

Sebenarnya kami tidak menyangka juga kerana Candra dan Tony adalah pemain berpengalaman," kata Zakry pada sidang akhbar selepas perlawanan itu.Zakry berkata strategi yang dilakukan ialah permainan pantas dan membiarkan rali yang panjang untuk menggunakan kekuatan stamina muda mereka ke atas pasangan Indonesia itu yang juga juara Sukan Olimpik 2000.

"Kami percaya atas faktor usia dan secara fizikal kami lebih kuat. Kalau kami bermain secara lebih taktikal, mereka pasti lebih baik," kata Zakry.

Pasangan Zakry / Fairuzizuan masih menaruh harapan untuk mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Beijing walaupun mereka tidak tersenarai ketika ini.Malaysia menyenaraikan dua beregu utama negara iaitu Choong Tan Fook/Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong ke Beijing.

"Kami masih menaruh harapan ke Olimpik kerana senarai pemain masih boleh berubah," tambah Fairuzizuan yang yakin dapat meningkatkan lagi prestasi mereka menjelang Sukan Olimpik setelah berjaya menjuarai dua kejohanan Super Series berturut-turut.

No comments: