Sunday, May 11, 2008

STRATEGI MENAWAN HATI RAKYAT

Oleh : Ibrahim Yahaya
(Belang Bertempat Akhbar Sinar Harian - 7 MEI 2008)


Parti politik perlu mempunyai strategi dan pendekatan tertentu untuk memenangi hati pengundi ketika pilihan raya. Strategi itu berbeza antara satu parti dengan yang lain bergantung kepada ideologi, perjuangan atau agenda parti berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12), DAP meneruskan strateginya untuk meniupkan sentimen perkauman dengan bertopengkan usaha menjuarai kepentingan rakyat. Parti itu menjaja tagline yang menyatakan “menyokong BN akan memperkuatkan kuasa Melayu”. Pendekatan itu berjaya memancing pengundi bukan Melayu di Pulau Pinang dan ini menyebabkan parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti Gerakan, MCA dan MIC ditolak oleh penduduk negeri itu. Akhirnya, DAP dapat memerintah Pulau Pinang dan diterajui oleh orang Melaka, Lim Guan Eng.

Strategi BN untuk melaung-laungkan usaha meneruskan pembangunan untuk rakyat dan memastikan negara ini selamat, aman dan makmur ditenggelami oleh tiupan perkauman DAP dan pelbagai tuduhan rasuah oleh PKR dan PAS. Ini diburukkan lagi laporan dalam blog dan portal berita yang memaparkan kelemahan kerajaan BN sejak 50 tahun lalu dan “perbicaraan terbuka” rakyat terutamanya terutamanya institusi perundangan.

Selepas memenangi pilihan raya, parti-parti politik pula berusaha untuk memastikan rakyat terus memberi sokongan kepada mereka menerusi strategi “mengambil hati” dan memperlekeh serta memperkecilkan lawan. Bagi pembangkang, sudah tentulah mereka mudah untuk melondehkan kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan walaupun ia amat kecil berbanding kejayaan dasar yang dilaksanakan selama 50 tahun. Kerajaan pula akan memaparkan kegagalan parti campuran pembangkang untuk menunaikan janji mereka dalam manifesto PRU12 seperti kegagalan Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran PKR menurunkan cukai taksiran.

Terbaru, tindakan pembangkang terus membelasah parti kerajaan boleh dilihat dalam persidangan Dewan Rakyat yang menyaksikan parti campuran menyusun strategi “mengenakan” kerajaan dalam semua bidang yang ditimbulkan. Ini temasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), institusi perundangan, kerajaan sebagai Pengerusi OIC dan dasar federalisme. Ini adalah satu pendekatan menggunakan setiap kesempatan dan ruang mereka bercakap bagi memalukan dan menidakkan apa yang dilakukan oleh kerajaan. Pembangkang juga mahu mengutarakan pandangan bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan BN selama 50 tahun tidak baik dan banyak merugikan rakyat. Pembangkang juga menuduh kerajaan mengamalkan rasuah dan masih berleluasa sehingga hari ini.

Ketika Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, berucap pada 5 Mei lalu, setiap Ahli Parlimen Pembangkang berusaha untuk mendapatkan laluan daripadanya untuk “membelasah”, memperlekeh dan memperkecil-kecilkan dasar atau program yang dilakukan oleh kerajaan selama ini. Antaranya ialah bulu politik, amalan federalisme terhadap kerajaan negeri yang dikuasai oleh pembangkang serta pelaksanaan pelbagai projek yang menguntungkan kroni dan mengetepikan kepentingan rakyat.

Setiap kali MP Pembangkang mengambil bahagian, mereka seolah-olahnya ditugaskan untuk menyuarakan sesuatu kelemahan kerajaan di samping membela parti masing-masing. Antaranya ialah MP Shah Alam, Khalid Samad, yang kelihatan ditugaskan menjaga kepentingan PKR di Selangor termasuk menjawab isu mengenai pemberian air percuma dan juga kadangkala membabitkan isu agama dan Melayu.

MP Teluk Intan dilihat mengemukakan cadangan agar kerajaan membebaskan lima tahanan Hindraf yang disifatkan tidak memberi ancaman kepada kerajaan. Beliau menuduh tindakan kerajaan itu bukanlah ada kaitan dengan ancaman keselamatan kepada kerajaan sebaliknya ancaman kepada kerajaan BN. Sementara itu, semua MP dari Kelantan ditugaskan mempertahankan tindakan Kerajaan Negeri PAS Kelantan yang memerintah lebih 17 tahun terutamanya dasar yang meminggirkan penyokong BN.

Apabila memperkatakan DEB, PKR dilihat amat berhati-hati agar tidak menyakitkan hati “rakan kongsi” mereka iaitu DAP. Strategi pembangkang ialah menggunakan isu DEB ini untuk mendapatkan simpati orang Melayu tetapi dalam masa yang sama membelasah kerajaan yang dituduh mengamalkan rasuah dan kronisme. Bagi PKR, mereka menyokong usaha membantu semua bangsa tidak kira Melayu, Cina atau India tetapi mendokong apa kepentingan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Namun yang menarik perhatian ialah tindakan Datin Seri Wan Azizah yang membela suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap kali MP BN mengemukakan persoalan termasuklah mengapa suaminya tidak menghapuskan JPP ketika berkuasa. DS Wan Azizah lantas menjawab bahawa suaminya adalah nombor dua ketika itu dan terpaksa mengikut telunjuk ketuanya. Ini adalah satu perkara yang amat lucu kerana sebelum ini beliau akan mempertahankan semua tindakan suaminya termasuk memperjuangkan kepentingan Melayu, Cina dan India berbanding pemimpin lain dalam UMNO.

No comments: