Sunday, May 4, 2008

ORANG MELAYU TAKYAH JERIT

MELAKA, 4 Mei (Bernama) -- Orang Melayu tidak perlu menjerit-jerit seolah-olah hak dan kuasa mereka sudah hilang kerana semuanya masih termaktub dalam perlembagaan persekutuan yang telah dipersetujui bersama kaum lain.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata apa yang perlu dilakukan sekarang ialah pihak bertanggungjawab, melaksanakan apa yang terkandung dalam dasar kerajaan dengan berkesan dan sempurna.

"Orang Melayu tidak perlu menjerit-jerit seolah-olah kita tidak ada kuasa, kita sudah ada perlembagaan, undang-undang, peraturan dan dasar, jadi kita buat kerjalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Ek Te di Tanjung Kling dekat sini, hari Ahad.

Beliau mengulas laporan akhbar bahawa apa jua usaha memulihkan kembali Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno hendaklah dilakukan tanpa kompromi terhadap kuasa dan hak Melayu.

Laporan akhbar itu menyebut beberapa peserta Kongres Permuafakatan Melayu yang ditemui pada Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Baharu semalam berpendapat Umno tidak perlu terus tunduk kepada permintaan rakan komponen BN yang lain kerana tuntutan-tuntutan itu tidak akan berakhir.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata syarikat pemegang amanah kaum bumiputera dan agensi kerajaan yang menjaga hak orang Melayu, perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna.

Bagi mengatasi rungutan lain seperti kekurangan doktor atau jurutera Melayu, beliau menyarankan supaya menghantar seberapa ramai anak Melayu ke universiti tempatan dan luar negara bagi mengikuti pengajian bidang tersebut.

Mengenai keputusan kerajaan menangguh dan mengurangkan kos projek yang tidak penting bagi membolehkan peruntukan digunakan untuk memastikan bekalan makanan negara terjamin dan tidak berlaku peningkatan harga barang, Mohd Ali berkata ia tindakan baik dan berkesan bagi tujuan itu.

Beliau berkata Melaka tidak mempunyai projek besar yang perlu ditangguhkan atau dikurangkan kos.

Katanya walaupun kerajaan negeri banyak melaksanakan projek tetapi projek itu dibiayai melalui pinjaman bank dan ia berdaya maju dengan memberi balik pulangan kepada kerajaan.

No comments: