Sunday, May 4, 2008

MU SEMAKIN HAMPIR



RIANG: Ronaldo (kanan) meraikan jaringannya bersama Rio Ferdinand ketika menentang West Ham di Old Trafford dalam saingan EPL, malam tadi. United menang 4-1. Sekiranya Chelsea tewas menentang Newcastle esok, gelaran EPL milik MU.

LONDON: Manchester United mengambil langkah besar ke arah mempertahankan kejuaraan bola sepak Liga Perdana Inggeris apabila mengalahkan West Ham United 4-1 di Old Trafford, semalam selepas bermain hampir separuh perlawanan dengan 10 pemain.

Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol manakala Carlos Tevez dan Michael Carrick, masing-masing satu gol ke atas kelab lama mereka tatkala United memungut 84 mata dengan baki satu perlawanan untuk ditamatkan.

Chelsea, yang akan berdepan Newcastle United, esok, mempunyai 81 mata, tetapi kekurangan jumlah gol yang besar berbanding United.



Jika Chelsea kalah esok, kejuaraan akan menjadi miliki United, melainkan mereka kalah di Wigan Athletic dan Chelsea menundukkan Bolton Wanderers dengan jurang gol yang besar hingga mencecah jaringan berganda dalam perlawanan terakhirnya, minggu depan.

"Laluan menanti Chelsea tidak mudah. Kami tahu kerana pernah melaluinya. Newcastle adalah lawan yang sukar ditundukkan di gelanggang mereka. Saya tahu hakikat itu," tegas pengurus United, Ferguson mengulas baki saingan menanti pencabarnya.

Ronaldo, Pemain Terbaik Tahunan Bola Sepak England buat musim kedua berturut-turut, kelmarin, memberikan United pendahuluan minit ketiga dan menambah satu lagi pada minit ke-24 untuk membawa jumlah jaringannya kepada 40 gol musim ini.

Bekas penyerang West Ham, Carlos Tevez menjadikan kedudukan 3-0 dengan rembatan menakjubkan dari jarak 30 meter, dua minit kemudian sebelum Dean Ashton membalas dengan rembatan akrobatik, dua minit selepas itu.

United kemudian dikurangkan kepada 10 pemain apabila Nani dibuang padang sebelum masa rehat kerana menghantuk kepala Lucas Neill.

Carrick memastikan kemenangan bergaya United dengan rembatan leret yang terkena pertahanan West Ham, Neill, untuk bola menerjah jaring pada minit ke-59. - BH/ Reuters.

No comments: