Oleh Ibrahim Yahaya
(BELANG BERTEMPAT - AKHBAR SINAR HARIAN - 30 APRIL 2008)
Mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke 12 bermula 28 April lalu selepas Pilihanraya Umum Ke 12 (PRU12) diadakan pada 8 Mac lalu. Seramai 222 Ahli Parlimen (MP) yang dipilih daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang. Yang Dipertua Dewam Rakyat baru, Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee, mengangkat sumpah.
Sidang Parlimen kali ini mencatatkan pelbagai sejarah. Antaranya ialah penampilan 99 muka baru, jumlah pembangkang yang bertambah dan kemunculan ketua pembangkang wanita pertama., Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Kita juga boleh menyaksikan pasangan anak dan bapa iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng serta Karpal Singh dan anaknya. Pasangan anak dan ibu iaitu Wan Azizah dan Nurul Izzah serta menantu dan bapa mentua iaitu Khary Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Begitu juga penampilan anak bekas Menteri Kesihatan, Chua Tee Yong.
Namun yang penting ialah rakyat mahu melihat aksi dan perangai 99 Ahli Parlimen muka baru dan perdebatan antara MP BN dan Pembangkang. MP pembangkang kini bertambah empat kali ganda iaitu 82 orang manakala MP BN kini seramai 140 orang.
Dengan bilangan MP BN dan pembangkang yang tidak berapa jauh bezanya berbanding sebelum ini (perbezaan 30 orang) sudah pasti sidang kali ini lebih hangat dan menarik. Apatah lagi ramai MP kali ini terdiri daripada orator lama dan baru yang baik daripada BN atau pembangkang. Antaranya ialah Datuk Mukhriz Mahathir, Saifuddin Nasution, Dr Mohd Puad Zakarshi dan Datuk Ibrahim Ali. Mereka juga mahu melihat bagaimana aksi MP muda seperti Nurul Izzah dan Khairy Jamaluddin yang mewakili dua keluarga "popular" di negara ini berhujjah dan melontarkan pandangan mereka.
Sejajar harapan tinggi rakyat, kita amat berharap MP bersidang secara profesional demi kepentingan orang ramai tanpa mengira kaum dan keturunan. Ini bererti mereka perlu berhujjah dengan baik, bernas, telus dan tidak berdebat dengan perkara-perkara remeh atau peribadi. Tidak payahlah masuk Parlimen untuk membuat lawak jenaka atau menunjukkan "kebodohan" atau bersikap bodoh sombong (boso). Ahli Parlimen akan dibelasah dalam media terutama media baru jika membuat lawak bodoh dan menghina golongan tertentu seperti isu bocor sebelum ini.
Ahli Parlimen parti kerajaan dan pembangkang perlu mempunyai pasukan penyelidik yang sentiasa membuat kajian mengenai keperluan rakyat dari semasa ke semasa. Pasukan penyelidik ini sentiasa turun ke akar umbi untuk mendengar masalah dan mendapatkan maklumat serta fakta untuk diketengahkan di Parlimen. Tanpa bertemu akar umbi atau turun padang, sudah pasti mereka tidak akan mengetahui apa yang berlaku di bawah. Mereka tidak akan mengetahui kesusahan dan keperluan rakyat. Jika ini berlaku, rakyat akan terus menderita tanpa sebarang pembelaan.
Rakyat juga sudah tentu tidak mahu melihat Parlimen berlangsung seperti sarkas di mana MP bertindak seperti harimau, singa, burung, kaldai, gajah, beruang atau monyet terlatih untuk menghiburkan penonton. Kebiasaannya sebagai haiwan sarkas, mereka akan diarah untuk melompat, memanjat, menari atau berlari mengikut arahan penjaganya. MP tidak perlulah menjadi kaldai atau beruk sarkas.
Hormatilah Parlimen dan hormatilah rakyat. Rakyat pasti tidak mahu mereka dihiburkan di Parlimen tetapi mahu MP bertindak cemerlang untuk memperjuangkan nasib mereka yang semakin mencabar dari hari ke hari termasuk kenaikan harga barang keperluan dan isu membabitkan prestasi agensi perkhidmatan kerajaan, ada antaranya yang masih banyak perlu diperbaiki. Rakyat sudah tentu mahu MP mereka menyuarakan segala pandangan akar umbi untuk didengar dan difahami oleh kerajaan. MP juga perlu memastikan cadangan yang baik dilaksanakan demi untuk memastikan kerajaan yang dipilih mampu menunaikan janji untuk membela nasib rakyat.
Bagi golongan ahli perniagaan, mereka juga mahu MP tidak kira kerajaan atau pembangkang menyuarakan pandangan mereka agar kerajaan sentiasa mewujudkan suasana perniagaan yang baik, membolehkan perniagaan mereka berkembang dan mengagihkan kekayaan negara kepada semua. Sudah tentu mereka tidak mahu ditinggalkan semata-mata kerana mereka tidak ada nama, tiada jaringan atau networking dengan pemimpin kerajaan atau peneraju GLC. Ahli perniagaan berwibawa mahu mereka diberikan kontrak dan tidak disisihkan kerana tiada jaringan berkenaan.
Zaman pemimpin kerajaan untuk menulis "sila pertimbangkan" di borang permohonan sudah berlalu tetapi perlu digantikan dengan sistem merit dalam memilih mereka yang berkelayakan untuk mendapat projek. Apa gunanya tulisan "sila pertimbangkan" atau "disokong" untuk membantu ahli perniagaan yang bukan saja tidak layak tetapi boleh mencemarkan nama agensi kerajaan atau GLC apabila kontrak itu diberikan kepada mereka. Jika untuk membalas budi buatlah secara yang lebih terhormat dan berhemah.
Bayangkan mereka yang lemah atau tidak berkelayakan mendapat kontrak kerajaan dan apabila projek itu siap, ia tidak sempurna dan mendatangkan malapetaka. Ketika itu, pemimpin kerajaan terpaksa pula meminta maaf dengan kesilapan kontraktor yang tidak amanah dan tidak layak, kelalaian "orang kita" atau "orang saya".
Janganlah marah jika rakyat memberikan undi kepada pihak pembangkang pada PRU atau PR Kecil akan datang semata-mata kerana masih ada pemimpin yang buta mata, buta hati atau sudah ketinggalan zaman dengan mengamalkan budaya yang tidak sihat dan tidak profesional. Untuk sekian kalinya, pemimpin sebegini, berubahlah untuk kebaikan. Berubahlah untuk kepentingan rakyat dan negara.
Friday, May 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment