KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Pengamal media hari ini sependapat bahawa sudah tiba masanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dikaji agar selari dengan perkembangan semasa.
Ketua Pengarang Berita Publishing Datuk A. Kadir Jasin berkata sekiranya sistem kehakiman boleh dikaji semula maka tidak salah jika akta itu turut dikaji.
"Sebenarnya kebebasan akhbar yang mutlak di mana-mana negara di dunia ini tidak wujud kerana penulisan berita masih tertakluk kepada siapa yang memiliki organisasi media itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.
Menurut bekas Pengerusi Bernama dan Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Time Press (NSTP) itu lagi dunia komunikasi tanpa sempadan sekarang membolehkan khalayak mempunyai pilihan lain sekiranya tidak yakin dengan laporan media perdana, mereka boleh beralih kepada saluran media lain seperti laman web dan blog," katanya.
Anggota Lembaga Pengarah Dunia Melayu Dunia Islam Datuk Ibrahim Yahaya berkata: "Apabila bercakap mengenai kebebasan akhbar kita perlu tanya pada diri apakah kebebasan yang benar-benar diinginkan.
"Kita boleh bebas menulis tetapi mesti ada rasa tanggungjawab dengan bahan yang ditulis serta mengenepikan kepentingan diri sendiri," katanya.
Ibrahim berpendapat dunia media sekarang sudah sampai ke satu tahap yang tidak hanya boleh menulis mengenai dasar tetapi lebih mendalam.
"Misalnya menegur sekiranya terdapat sebarang kepincangan mengenai dasar kerajaan dengan syarat ia bertujuan untuk kepentingan semua. Kerajaan pula perlu melihat laporan-laporan media itu sebagai satu yang positif," katanya.
Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia Hari ini sebuah akhbar tempatan melaporkan kekangan terhadap kebebasan media di Malaysia perlu diubah untuk mewujudkan sebuah negara demokrasi yang sihat.
Menurut satu kajian antarabangsa kebebasan akhbar di Malaysia berada ditangga ke 141 daripada 195 negara sama dengan beberapa negara di benua Afrika seperti Cameroon dan Libya.
Sementara Ketua Pembangkang yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh Dr Wan Azizah Ismail berkata akibat terlalu mengongkong media perdana menyebabkan wujudnya ribuan pejuang siber yang secara tidak langsung memberi perubahan kepada iklim politik negara.
"Kerajaan seharusnya maklum dengan status globalisasi dan maklumat tanpa sempadan. Rakyat yang merdeka memerlukan minda yang merdeka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata tanpa media yang adil dan bebas, tiada langkah pembaharuan sama ada untuk memulihkan keyakinan awam dalam kebebasan, kesaksamaan dan kewibawaan badan kehakiman atau pembanterasan rasuah secara besar-besaran akan berjaya.
"Hari Kebebasan Media Dunia tahun ini patut digunakan untuk mengumumkan langkah berani mengenai pembaharuan kebebasan akhbar terutamanya untuk memansuhkan syarat pembaharuan lesen akhbar secara tahunan dan juga Akta Mesin Cetak dan Penerbitan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment