Oleh : Ibrahim Yahaya
(Belang Bertempat Akhbar Sinar Harian - 21 MEI 2008)
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anggota seumur hidup dan bernombor keahlian “1”, kelmarin mengumumkan keluar dari UMNO berkuatkuasa serta merta bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang bernombor keahlian '2'. Tindakan bekas Presiden UMNO itu mengejutkan ramai pihak – kawan dan lawan dalam politik. Bagaimanapun, ada juga yang sudah menjangka tindakan drastik itu akan berlaku kerana memahami sikap luarbiasa bekas Presiden UMNO itu sejak dulu lagi.
Dr Mahathir juga mahu mereka yang sependapat dengan beliau mengikuti jejak langkahnya tetapi tidak mahu mereka menyertai parti lain. "Saya yakin cara ini berkesan. Saya tidak akan menyuruh orang membuat sesuatu yang saya sendiri tidak berani melakukannya.’
Bagi pemerhati politik, tindakan Dr Mahathir itu adalah langkah terakhirnya untuk memberi tekanan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan “tsunami politik” pada Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu. Keputusan itu menyaksikan BN tidak mendapat majoriti dua pertiga kerana mendapat 140 kerusi daripada 222 kerusi yang ditawarkan manakala bilangan Ahli Parlimen pembangkang bertambah kepada 82 orang.
Dr Mahathir yang lantang mengkritik Paklah sebelum dan selepas PRU12, mahu Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap kemerosotan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN). Bagi Dr Mahathir, Paklah adalah punca utama persembahan buruk BN serta perlu bertanggungjawab dan meletakkan jawatan segera.
Bagi Paklah, yang terkejut dengan pengumuman Dr Mahathir itu, menyifatkannya sebagai satu tindakan yang sudah pasti difikirkan masak-masak oleh ketua lamanya. Namun, beliau tetap bertegas tidak akan meletakkan jawatan dan berharap semua ahli UMNO bertenang dan setia kepada parti yang telah banyak memperjuangkan nasib bangsa Melayu di negara ini. Dalam pertemuan dengan UMNO Selangor malam kelmarin, Paklah yang mengambil sikap “berdiam diri” dan “tidak melawan” selama ini, menegaskan beliau mahu terus menjalankan kerja yang diamanahkan serta kurang bercakap untuk menangkis tuduhan Dr Mahathir.
Kemanakah arah Dr Mahathir selepas keluar dari UMNO? Dalam blognya, chedet.com. bekas Presiden UMNO turut menegaskan bahawa "saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan." Kenyataan itu sudah pasti melegakan ahli UMNO terutamanya mereka yang masih sayang kepada Perdana Menteri selama 22 tahun ini di samping tidak mahu orang Melayu terus berpecah-belah dan menubuhkan banyak parti yang boleh melemahkan gagasan perjuangan Melayu di negara ini. Perpecahan itu adalah sesuatu yang tidak sihat kerana tiada satu suara yang boleh mewakili bangsa Melayu dalam memastikan “kedaulatan Melayu” dalam Perlembagaan terus terpelihara dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak termasuk orang Melayu.
Pengumuman keluar UMNO itu dibuat pada tengah hari kelmarin ketika Dr Mahathir berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di Alor Star, Kedah. Ia dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Melayu Kedah yang turut dihadiri oleh Presidennya, Tan Sri Khalid Abdullah.
Mengikut laporan media, pengumuman Dr Mahathir itu dibuat secara spontan setelah seorang peserta meminta beliau keluar UMNO jika tidak bersetuju dengan kepemimpinan sekarang. Walaupun laporan awal ada menyebut kemungkinan Dr Mahathir akan membuat satu pengumuman penting, namun hadirin tidak menyangka beliau akan keluar daripada parti yang pernah dianggapnya keramat dan berjasa kepada bangsa Melayu. Bekas Presiden UMNO menjelaskan tindakannya itu kerana hilangnya keyakinan terhadap kepemimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.
Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Paklah yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara. Dr Mahathir berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.
Dr Mahathir juga yakin bahawa tindakannya meninggalkan Umno tidak akan memberi kesan kepada politik orang Melayu. "Saya pernah dibuang dari Umno, (dan) politik Melayu tidak hilang. Kalau orang Melayu hendak betulkan, bukan kerana (tindakan) saya keluar. Kalau mereka berani hendak pelihara parti dan perjuangan parti mereka harus berani bertindak.".
Dr Mahathir juga sekali lagi menegaskan bahawa Abdullah perlu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bagi memastikan survival Umno dan jika perlu anggota Umno boleh membuat undi tidak percaya dalam usaha memaksa Abdullah meletak jawatan. Ditanya adakah tindakan terbarunya itu (keluar Umno) bertujuan memberi tekanan kepada Abdullah, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak tahu mengenai tekanan kerana orang ini tidak faham apa-apa.”
Pelbagai persoalan pasti timbul dengan tindakan mengejut Dr Mahathir itu. Antaranya ialah kesan terhadap scenario politik Melayu dan negara ini. Apakah ahli-ahli UMNO akan membuat keputusan untuk mengikuti jejak Dr Mahathir? Adakan saranan Paklah agar ahli UMNO bertenang dan terus setia dengan parti akan dituruti oleh semua pihak? Adakah ini strategi yang boleh dipatahkan oleh Paklah dan pemimpin UMNO lain? Apakah ahli UMNO akan mendengar arahan Dr Mahathir atau sentiasa mengutamakan kepentingan bangsa Melayu? Apakah Melayu akan terus bercakaran? Apakah perbalahan berbentuk peribadi ini boleh diselesaikan oleh orang ketiga? Apakah Paklah perlu bertemu Dr Mahathir?
Bagi Dr Mahathir keluar UMNO bukan satu perkara baru dalam dirinya. Beliau pernah dipecat daripada Umno pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepemimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972. Oleh itu, langkah keluar UMNO kali ini dan berjanji menyertai semula selepas “ketiadaan” Paklah boleh dilihat sebagai satu strategi untuk menguji kecondongan kesetiaan ahli UMNO. Siapa yang mereka pilih?
Apa yang perlu dilakukan oleh ahli UMNO sekarang? Bagi saya, ahli UMNO jangan melatah termasuk melakukan tindakan yang boleh memburuk-burukkan keadaan. Mereka perlu bertenang dan tidak mengikut perasaan. Ketika ini, mereka perlu bersatu dan memperkuatkan barisan. Tindakan mengejut Dr Mahathir itu perlu dianggap sebagai satu ujian mental yang perlu dilalui dengan bijak sebelum sebarang tindakan diambil.
Berlatarbelakang senario politik sekarang yang boleh dianggap tidak stabil kerana ugutan dan khabar angin, ahli UMNO wajib setia dengan UMNO dan berusaha keras memperbaiki kelemahan bersama pemimpin mereka. Utamakan perjuangan parti daripada kepentingan peribadi. Jangan biarkan UMNO tersungkur dan berkubur. Jangan biarkan UMNO tinggal pada namanya saja. Jika berlaku, pasti amat menyedihkan.
UMNO perlu kukuh, begitu juga BN. Ahli dan pemimpin UMNO dan parti komponen BN di Sabah serta Sarawak perlu berusaha membantu rakan-rakan lain dalam BN untuk berdiri tegap dan berlari bersama UMNO. Ini penting untuk memastikan kesinambungan politik BN untuk tahun akan datang. Kerjasama erat semua parti komponen BN perlu kekal dan diperkukuhkan demi untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Apa lagi pengumuman mengejutkan hari ini?
Thursday, May 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment