Friday, May 2, 2008

POLITIK "BIKINI" CEMAR DEWAN RAKYAT

Oleh EDWIN MICHAEL,
Butterworth, Pulau Pinang.

SAYA tertarik melihat gambar seorang Ahli Parlimen yang bangga memperlihatkan kameranya pada hari pertama sidang Parlimen berlangsung kelmarin. Saya percaya, perilaku Yang Berhormat (YB) itu mungkin jarang dan pertama seumpamanya berlaku di Parlimen negara ini.

Bagi saya seseorang YB seharusnya memperlihat kredibilitinya sebagai wakil rakyat yang diamanahkan rakyat itu sendiri untuk ke Parlimen membawa hasrat membela nasib rakyat, bukanya bertujuan lain. Tanggungjawabnya memang bukan mudah kerana sebagai YB, beliau seharusnya membahas, menggubal dan merangka sesuatu dasar atau undang-undang serta mengkritik sekiranya mempunyai apa juga kelemahan pada pihak kerajaan demi kepentingan rakyat.

Soalnya, hari pertama YB ini melangkah ke Parlimen dengan sebuah kamera tergantung di lehernya tidak lebih daripada menghabiskan masanya dengan merakam gambar. YB berkenaan wajar mengubah mentaliti dan stail pemikiran politik beliau, Parlimen adalah medium penyebar tarbiyah masyarakat yang seharusnya dipelopori individu berwibawa dan memiliki kemahiran politik yang tajam dan matang.

Seorang rakan saya yang menghubungi melalui e-mel menganggap perilaku YB seumpama itu, tidak ubah seperti istilah politik bikini. Bikini adalah pakaian dalam yang digunakan wanita untuk menutupi bahagian sulit mereka dan pada masa sama mendedahkan bahagian tubuh badan yang lain yang boleh menimbulkan perasaan erotis dan ghairah.

Politik bikini adalah satu pendekatan politik yang mencuba untuk menutupi persoalan penting yang barangkali sangat bermasalah (umpama bikini yang menutupi bahagian sulit si pemakai) dan pada masa sama menonjolkan kepada masyarakat hal yang boleh mencapai kejayaan daripada sebuah proses pendemokrasian (menonjolkan bahagian tubuh badan lain).

YB ini pada satu pihak muncul sebagai barisan Ahli Parlimen pembangkang yang dipertanggungjawab untuk membela nasib masyarakat yang pastinya turut membabitkan nasib pengundi kawasan Parlimen yang diwakilinya. Ia adalah sebuah cerita yang cukup indah dan mengasyikkan dan pada satu bahagian lain pula memperlihat kematangan politik yang amat cetek dan memalukan yang turut memalit lumpur kepada keseluruhan barisan Ahli Parlimen pembangkang itu sendiri.

Apa yang ditonjolkan YB ini tidak jauh bezanya dengan rahsia filem dokumentari The Blair Witch Project yang pada awalnya didakwa sebagai sebuah filem benar dan kemudiannya baru diketahui bahawa filem berkenaan hanyalah rakaman semata-mata.

Segala gangguan di dalam hutan dilakukan krew filem, malah aspek promosi adalah pembohongan terbesar dalam filem itu apabila menyatakan rakaman dan kehilangan pelakon itu benar-benar berlaku.

Walaupun ia hanya sekadar filem, The Blair Witch Project meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan mencetuskan fenomena dikenali 'sindrom kepercayaan sebenar' sehingga menyebabkan ramai penonton mengunjungi lokasi kejadian. Justeru, The Blair Witch Project digelar misteri paling menipu dalam sejarah.

Begitulah juga dengan sesetengah individu yang pada awalnya menabur segala macam janji dan harapan kepada rakyat bahawasanya merekalah yang terbaik, terunggul dan tiada yang lebih layak selain diri mereka sendiri untuk membela nasib rakyat hinggalah suatu hari individu ini mempamerkan sendiri tahap mentaliti politik mereka kepada umum.

Dengan politik bikininya yang berusaha untuk meyakinkan rakyat dan kemudian menanam 'sindrom kepercayaan sebenar' dalam pemikiran rakyat maka individu ini menganggap bahawa tiada mana-mana kuasa kebal yang dapat menandingi mereka sedangkan individu ini terlupa bahawa masih ramai lagi yang sedang memerhatikan tingkah laku dan gerak geri mereka ini termasuk tingkah laku YB yang asyik dengan kameranya.

Harus diingat bahawa etika dan akhlak masyarakat dalam penerapan prinsip demokrasi dan politik bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh seseorang wakil rakyat di Parlimen yang juga mampu mewujudkan 'sindrom kepercayaan sebenar' semata-mata untuk mengaburi pengundi dan menguasai politik negara serta seterusnya politik bikini menjadi pendekatan politik yang hanya akan mencemar imej institut Parlimen negara.

(sumber : Surat Pembaca Berita Harian - 2 Mei 2008)

No comments: