Saturday, April 12, 2008

TIADA HALANGAN BERSUARA - NAJIB

PEKAN, 12 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak memberi peluang dan ruang kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk merumuskan perkara yang sedang dibangkitkan berkaitan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno berkata ketika ini jawatankuasa itu sedang mendengar para pemimpin Umno bahagian menyuarakan pandangan mereka dan pucuk pimpinan akan memikirkan cara terbaik dalam usaha memulihkan semula keyakinan terhadap parti.

"Tidak ada halangan (untuk) bercakap, bila kita kata jangan bercakap, nanti Umno tidak demokratik pula, tak boleh juga, nanti orang marah kita, jadi kita beri peluang mereka bercakap," katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa laporan media alternatif (blog dan internet) ketika ini dikatakan lebih menyuarakan suara akar umbi berhubung faktor prestasi buruk Umno dan BN pada pilihan raya umum lepas.

Najib berkata: "Berilah ruang kepada pucuk pimpinan, khususnya Presiden parti, Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) untuk memikir apa cara terbaik memulihkan parti, memulihkan keyakinan, yang penting kita dapat feedback, secara terbuka, secara ikhlas, (dan) kita akan serahkan pada pucuk pimpinan," katanya.

Ditanya mengenai pendapat yang berbeza-beza mengenai sistem kuota untuk bertanding pada pemilihan Umno nanti, dan terbaru kenyataan Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo yang turut tidak bersetuju sistem itu dikekalkan, Najib berkata: "Ada beberapa pendapat, macam-macam pendapat, tapi kita akan bincang di peringkat Majlis Tertinggi nanti apa yang terbaik, pada sama sekarang kita pakai peraturan sedia ada."

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai Perdana Menteri akan berbincang dengannya (Najib) mengenai pelan peralihan kuasa kepadanya (Najib), Najib sekadar berkata: "Itu nantilah, hari-hari cakap benda tu... tak apalah (tak payah komenlah)," .

Terdahulu Najib melancarkan Majlis Pecah Tanah projek akualkutur teknologi "Fish Protech" di Kuala Pahang di sini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed.

No comments: