Tuesday, April 22, 2008

MSM MASIH MEDIUM TERPENTING

Oleh Affendi Abdul Karim

Umum mengakui negara di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kini berdepan cabaran mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

Isu HINDRAF, ketidakpercayaan terhadap institusi kehakiman negara, isu kenaikan harga barang dan pergolakan politik dalaman BN antara yang mempengaruhi rakyat terhadap kerajaan.

Pada akhirnya rakyat bertindak dan menyebabkan ‘tsunami’ Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dicatat pada 8 Mac lalu. PRU ke-12 telah membuktikan BN kurang mendapat kepercayaan rakyat berbanding pakatan parti pembangkang antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam Pilihan Raya itu, walaupun BN berjaya memerintah namun
ia gagal mendapat majoriti dua pertiga iaitu 148 daripada 222 kerusi Parlimen. BN sekadar memperoleh 140 kerusi Parlimen manakala 82 lagi kepada pembangkang.

Selain gagal merampas semula Kelantan, BN terpaksa menerima hakikat bahawa Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah kini dibawah penguasaan pembangkang.

Kegagalan kerajaan BN dalam memenangi hati rakyat wajar dipikul semua pihak. Ini termasuklah media arus perdana.

Pada era kini, tidak dapat dinafikan media arus perdana merupakan medium terpenting mempengaruhi rakyat dalam membuat keputusan. Justeru, media arus perdana wajar memainkan peranannya dalam membantu memulihkan imej kerajaan yang tercalar di mata rakyat.

Pengamal media hendaklah selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan. Mereka perlu membawa kerajaan mendekati rakyat dan sebaliknya. Hanya dengan penggemblengan kerjasama inilah, usaha memenangi hati semua pihak dapat dilaksanakan.

Ini bukan bermaksud menidakkan hak pengamal media untuk bebas bersuara menyampaikan kebaikan dan menyatakan keburukan. Namun, perlu menjadi hak rakyat ‘termasuk’ pengamal media untuk menjaga kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara.

Pengamal media arus perdana perlu melihat kejayaan BN mentadbir negara dalam suasana masyarakat harmoni dan ekonomi yang stabil selama ini sebagai sesuatu yang perlu dikekalkan. Kestabilan negara hendaklah menjadi asas pegangan media arus perdana dalam penulisan dan penyiaran maklumat.

Menjadi tanggungjawab media arus perdana untuk menerangkan pelbagai maklumat dan dasar kerajaan secara terperinci dan telus supaya rakyat dapat menilai keberkesanan hala tuju kerajaan. Antara dasar yang perlu diberikan perhatian ialah Pembangunan Ekonomi Wilayah yang bertujuan membantu rakyat di kawasan di luar Lembah Klang.

Walaupun selama ini, memang diakui media arus perdana menjalankan tugasnya menyampaikan dasar kerajaan namun dalam era globalisasi ia menuntut usaha yang berlipat ganda.

Dalam era globalisasi, media arus perdana berdepan dengan kewujudan media alternatif atau new media seperti laman web, e-mail dan terbaru laman blog. Media alternatif adalah sumber terbaru kepada rakyat memperoleh sebarang maklumat dan berita.

Justeru, media arus perdana perlu menggandakan usaha membuktikan keberkesanan media sebagai penyampai maklumat kerajaan yang lebih proaktif. Rakyat kini amat memilih terhadap maklumat yang disampaikan. Mereka mahukan maklumat yang benar dan tepat bukanlah sentiasa disogokkan dengan berita-berita yang digembar-gemburkan.

Pada masa sama berusaha menarik pengamal media alternatif untuk sama-sama membangunkan negara. Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan semula keyakinan dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

No comments: