PUTRAJAYA 23 April - Kini wujud keperluan bagi UMNO, yang kalah besar dalam pilihan raya umum Mac lepas, menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat sebab-sebab merosotnya sokongan terhadap parti itu, yang menjadi teras Barisan Nasional (BN).
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, ketika membuat gesaan itu berkata, UMNO juga perlu "berubah" dalam cara ia beroperasi "Jika anda boleh menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk hakim, dan kini mahu membentuk suruhanjaya anti rasuah, mengapa tidak boleh dibentuk suruhanjaya untuk UMNO?," kata beliau, dan menambah UMNO perlu terus bergerak ke depan.
"Saya selalu kata sistem kuota mesti dihapuskan. Kewujudan terlalu banyak rangkaian pemimpin dalam UMNO di peringkat negeri harus juga disemak, agar kita tidak terpaksa melayani kehendak terlalu ramai bos bila pilihan raya diadakan," kata veteran politik itu.
Dr Rais, 66, merujuk kepada sistem kuota yang mensyaratkan setiap pemimpin yang ingin bertanding jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden atau anggota MT, mesti mendapat bilangan pencalonan tertentu dari bahagian-bahagian UMNO.
"Ini saya fikir sukar diterima oleh sesetengah pihak, kita mesti lahirkan apa yang kita percaya. Tapi, saya tidak menyalahkan sesiapa, sistemnya mesti adil," kata beliau.
Diminta mengulas desakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan menerima tanggungjawab atas prestasi merosot BN dalam pilihan raya umum itu, Dr Rais berkata ini bukan masa untuk berbalah tetapi untuk bekerja.
"Ini masa untuk memaaf dan melupakan (yang lalu). Setiap orang punya suara hati untuk dilaksana dan diperkatakan dengan lantang.
"Saya fikir kini masanya bagi semua peringkat kepimpinan menerima dan mencintai Malaysia dan membolehkan proses kerja terlaksana," kata beliau.
Dr Rais berkata beliau tidak menuding jari kepada sesiapa atas kekalahan itu, tetapi rakyat Malaysia "memang suka menyalahkan orang lain". - BERNAMA/UM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Salam!
Kali ni rasanya dah kali ke-7 saya membaca artikel kenyataan Dr Rais Yatim soal penubuhan suruhanjaya untuk menyiasat kekalahan Umno/BN dalam PRU12 lalu.
Apabila seseorang itu tergerak hati mengulangi pembacaannya beberapa kali bermakna sudah tentu ada sesuatu yang ingin diselami akan kewajarannya penubuhan suruhanjaya berkenaan.
Bukan idea ini tidak bagus tetapi di satu segi kita nampak hanya pada kebaikan sedangkan di sudut lain pula pasti ada tidak baiknya di pandangan pihak lawan.
Kerajaan BN dilihat lawan sebagai satu organisasi kerajaan yang mentadbir negara, penuh dengan segala suruhanjaya itu dan ini.
Apabila sesuatu terjadi maka baru terngadah membentuk suruhanjaya itulah dan inilah... Apakah difikirkan benar-benar relevan dan boleh membantu?
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan diikuti pula Suruhanjaya Anti Rasuah dalam masa yang amat berturutan dan rapat sekali. Kali ini Rais Yatim pula menimbulkan idea baru supaya Suruhanjaya Perbetulkan Umno. Apa semuanya ini?
Bahlul sangatkah... Tongong sangatkah... si pemimpin ini semua? Sedangkan rakyat umum pun mengetahui apa sebab dan musabab kekalahan yang menimpa.
Yang penting sekarang bukan soal penubuhan suruhanjaya itu sebenarnya tetapi pemimpin sendiri kena mencermin diri masing-masing dan bersedia untuk berubah sikap kepada lebih cekal, yakin, telus, jujur, amanah, ikhlas, berani dan bertanggungjawab.
Sikap keras kepala, ego, angkuh, sombong, mendabik dada dan mementingkan diri sendiri haruslah dikikis dan dihapuskan. Penawarnya yang paling mujarab, mudah saja... hanya perlu akur dengan kehendak rakyat yang majoriti bahawa kepimpinan yang ada hari ini perlu ditukar dan dirombak 100% untuk digantikan pula dengan barisan pemuda pelapis.
Apabila banyak sangat kepala atau nakhoda (boss) yang nak tunjuk pandai dan bijak, mulalah pelbagai idea dibangkitkan. Ini semua tak lebih sekadar mencari populariti atau publisiti murahan sahaja. Cuba amati dan cuba fikirkan sedalam-dalamnya.
Apa yang saya amat kesal, Rais Yatim pandai menempelak kononnya di peringkat negeri ramai sangat "boss" kepada kumpulan tertentu tetapi siapa pula dia untuk menyarankan pembentukan suruhanjaya bagi perbetulkan Umno/BN? Masya'Allah manusia ni cakap tak serupa bikin.
Lagi satu, saya kesal apabila Rais Yatim kata, "rakyat Malaysia suka menyalahkan orang lain"... apa maksud beliau dengan kenyataan bodoh itu?
Ucapan beliau ini ibarat "menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri".
Dia jugalah yang cuba nak berlagak sebagai salah seorang "boss" yang dia sendiri maksudkan... dan dia jugalah tergolong sebagai rakyat Malaysia yang suka menyalahkan orang lain.
...atau pun,
Adakah beliau (Rais Yatim) ini satu manusia dari planet lain yang bukan rakyat Malaysia? Astaghfirullahal'adzim!
Makin hari makin bertambah zahir pemimpin-pemimpin veteran yang tidak lagi relevan untuk berada di dalam pentadbiran kerajaan.
Saya mohon saudara-saudari, tuan puan, apabila menonton berita TV atau membaca akhbar agar amatilah setiap patah perkataan dan setiap baris ayat kenyataan para pemimpin kita.
Nilailah sendiri kenyataan mereka yang masih berterusan "memperbodohkan rakyat" dan menyalahkan rakyat kononnya suka bersikap menuding jari. Wartawan juga disarankan apabila terdengar ucapan pemimpin yang bunyinya agar janggal dan dangkal, beranikanlah diri untuk bertanya dan soal kembali apa yang dimaksudkan supaya pemimpin itu menghuraikan maksudnya supaya lebih jelas dan terang.
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya sungguh tidak berpuashati dengan kenyataan Rais Yatim yang menuding jari kepada rakyat.
Saya turut menyediakan satu pesanan khas kepada Rais Yatim dan semua pemimpin supaya lebih menjaga sensitiviti rakyat di dalam sebarang kenyataan.
SILA KLIK UNTUK MEMBACA PESANAN
Sekian, kepada wartawan yang membaca agar sampaikanlah pesanan ini kepada "Pak Menteri Luar" tesebut dan juga pemimpin-pemimpin lain yang dikenali.
Wassalam!
PEMUDA PELAPIS - PEWARIS PERJUANGAN BANGSA
Sdr Pemuda Pelapis,
Salam kembali.
Usaha UMNO menghantar Jawatankuasa Pengurusan diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan maklumat daripada akar umbi menyaksikan pembukaan "gelanggang menghentam pemimpin" dan juga medan untuk membodek serta mengampu mereka yang datang. Tidak hairanlah sepanduk menyokong DS Najib dan TS Muhyiddin dipasang di Selangor.
Pelbagai perkataan, ayat dan kata nista yang tidak terfikir akan dikeluarkan oleh ahli dan pemimpin UMNO, dihamburkan dalam gelanggang itu. Mereka benar-benar marah dan tidak puas hati.
Daripada usaha mendapat maklumat ia bertukar menjadi gelanggang membelasah pemimpin peringkat negeri dan pusat terutamanya Pak Lah dan menantunya, KJ.
Oleh itu, penubuhan satu badan yang neutral atau berkecuali akan membantu mendapatkan semua maklumat yang dikehendaki oleh UMNO bagi menyusun strategi dan halatuju pada masa hadapan.
Mungkin ramai yang menyatakan bahawa Pak Lah dan KJ adalah punca segala-galanya kepada kemerosotan sokongan kepada UMNO. Oleh itu, penubuhan pasukan pencari maklumat ini bertujuan mencari faktor utama lain di samping mengia atau menidakkan cakap-cakap politik sekarang.
Lupakan ia cadangan Dr Rais, tetapi cubalah kita memikirkan kepentingan penubuhan kumpulan pencari barah politik dalam UMNO yang neutral dan berwibawa. UMNO adalah institusi sosial Melayu yang perlu dipertahankan.
Terima kasih respon yang diberikan ke atas komen saya berkenaan isu ini.
Baiklah, kita ketepikan siapa yang mengusulkan cadangan suruhanjaya ini.
Saya amat memahami hakikat cadangan itu di sebaliknya yang tersirat cuma persoalan saya, kenapa sudah terhantuk baru terngadah?
Memang benar kita wajib dan perlu mempertahankan Umno sebagai sebuah institusi dan wadah asas perjuangan kaum Melayu yang telah melakarkan sejarah awal kemerdekaan negara namun pelaksanaan sebelumnya yang diambil tindakan oleh pemimpin-pemimpin kita secara tidak tepat dan tanpa berfikir panjang, kenapa?
Sepatutnya DS Najib tidak perlu mengetuai barisan "post-mortem" tempohari, sebaliknya awal-awal lagi suruhanjaya berkecuali ini sudah dibentuk dan bukan masanya lagi untuk mencuba kaedah itu atau kaedah ini yang hanya membuang masa. Bila rakyat kata pemimpin lembap atau lembik, pemimpin pandai melatah. Kita yang duduk di bawah pun mampu menjangkakan apa yang bakal terjadi dengan cara itu.
Sekarang jelas sepertimana yang dikatakan bahawa usaha awal tersebut hanya menjadi satu gelanggang kecam mengecam dan tidak lebih untuk saling belasah membalasahi antara satu sama lain. Secara tidak langsung adalah juga agenda "melobi" sebenarnya.
Hari ini benar sebagaimana yang saya katakan bahawa wakil pembangkang, PAS telah menghantukkan lagi kepala pemimpin kita yang kononnya usul Dr Rais Yatim ini sebagai satu sindiran tajam kepada Pak Lah.
Walau bagaimana pun, punca paling utama memang kita tidak boleh nafikan kesalahan haruslah diletakkan atas bahu Pak Lah dan menantunya KJ, yang telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan keluarga mereka, bak kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini memang amat ketara sejak Pak Lah mula mengambil-alih kuasa.
Yang kita nak siasat dan cuba memperbetulkannya sekarang adalah punca-punca sampingan lain sahaja yang mana saya fikir tidaklah seberat mana sangat pun.
Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami perkara ini. Perumpamaan yang saya katakan bahawa kita ini diibaratkan sebuah kapal yang dinakhodai oleh Pak Lah. Apabila Pak Lah sebagai nakhoda telah membawa kapal kepada salah haluan dan melanggar batu karang maka kita pastinya akan karam bersama-sama.
Ini semua adalah HUKUM ALAM yang sudah pun ditetapkan dan tidak boleh lari, nescaya walau seinci pun.
Keputusan yang kita dapat hari ini, adalah PADAH kepada Umno dan BN yang mana nakhoda lah yang wajib bertanggungjawab sepenuhnya kerana beliaulah yang menjuruskan kapal kita ke laluan yang salah ini.
Selebihnya adalah kesalahan penolong nakhoda dan barisan penyokong nakhoda yang tidak mahu menegur nakhoda bahawa laluan yang dituju itu sebenarnya salah. Sebab itu saya berani bersuara agar rombakan menyeluruh perlu dilaksanakan segera jika masih menaruh harapan kapal ini mampu untuk diselamatkan daripada terus karam.
PEMUDA PELAPIS - PEWARIS PERJUANGAN BANGSA
Post a Comment