Saturday, April 19, 2008

CHINA BELI BABI MALAYSIA

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 April – Sekumpulan ahli perniagaan China baru-baru ini mengemukakan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport daging babi ke republik tersebut.

Ketua Unit Penternakan Babi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kim Hee berkata, cadangan itu dibuat kerana harga daging babi yang ditawarkan di ladang-ladang negara ini cukup kompetitif, malah antara yang termurah di Asia.

Sehubungan itu, katanya, beberapa syarikat dari China menyatakan minat untuk bekerjasama dengan penternak babi Malaysia bagi menampung permintaan daging babi yang semakin tinggi di negara itu.

“Beberapa syarikat menyatakan minat, tetapi kita tunggu dulu kunjungan wakil syarikat China itu ke Malaysia hujung bulan ini untuk membolehkan perbincangan lanjut.

“Setakat ini semuanya masih di peringkat awal dan tiada keputusan muktamad diambil,’’ kata Kim Hee ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar The Sun hari ini memetik laporan Nanyang Siang Pau yang melaporkan Malaysia dalam perancangan mengeksport daging babi ke China buat pertama kalinya.

Kim Hee dalam laporan itu berkata, urusan berhubung hal tersebut dilakukan dengan dua buah syarikat dari China selain usaha untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Beliau dipetik sebagai berkata, jika Malaysia dapat menjadi pengeksport babi ke China, para penternak akan berpeluang memperoleh pendapatan yang baik termasuk dari segi pertukaran wang asing memandangkan pasaran yang besar di negara itu.

China yang mempunyai penduduk lebih 1.2 bilion dilaporkan berhadapan dengan kekurangan bekalan daging babi berikutan permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan penduduknya.

Ekoran taraf yang semakin baik, permintaan daging babi di negara berkenaan dilaporkan meningkat hingga China terpaksa mengimport daging babi dari Thailand, tetapi langkah itu juga dikatakan tidak mencukupi.

Malaysia sebelum ini turut mengeksport daging babi ke Singapura namun ia dihentikan selepas republik itu melarang import daging babi dari Malaysia berikutan penyebaran virus Nipah pada 1998.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Dr. Ibrahim Che Embong ketika diminta mengulas isu itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada para penternak babi berhubung penternakan besar-besaran untuk eksport ke China.

Dari segi dasar, ujarnya, hanya ladang ternakan secara moden yang dibenarkan ditambah manakala soal sama ada boleh atau tidak bilangan babi ditingkatkan terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

“Mengikut amalan, selaku tuan tanah negeri yang buat dasar mengenai penternakan babi. Negeri-negeri memang hanya menumpukan untuk menampung keperluan babi dalam negara. Sejak dari tahun 2000, sudah tidak ada eksport babi termasuk ke Singapura.

“Statistik menunjukkan jumlah babi di Malaysia berjumlah 2.6 juta ekor tetapi babi boleh ditingkatkan pengeluarannya dengan cepat.

“Haiwan itu boleh beranak tiga kali setahun dan setiap kali beranak, ia boleh melahirkan 11 ekor anak.

“Mungkin sebab itu para penternak merancang terlebih dahulu dengan syarikat China kerana mereka tahu jumlah babi boleh ditingkatkan dalam masa yang singkat,’’ katanya.

2 comments:

Anonymous said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Fragmentadora de Papel, I hope you enjoy. The address is http://fragmentadora-de-papel.blogspot.com. A hug.

MatKreko said...

Camna tak murah babi kat M'sia ni...

Bela kat kandang haram... takde la kos tanah dan penempatan

Sisa buangan tak diproses, malah terus je buang dalam sungai/tasik... takde la kos memproses sisa buangan dan najis dari kandang

Angkut babi pun pakai lori biasa je, bukan yg khas dan tertutup utk elakkan kekotoran... takde kos tambahan nak elakkan pencemaran dari pengangkutan

Kalau semua ni dapat dielakkan, mungkin harga tak lagi murah... kalau harga dah naik, takde la minat China nak import babi M'sia...