Tuesday, April 22, 2008

PERKARA NEGATIF PERLU DIOLAH DENGAN BAIK

Oleh Taufik Adanan

Imej, kredibiliti, berwibawa, adil dan saksama. Ini belum ditambah lagi dengan ayat ketepatan, kesahihan dan seumpama dengannya bagi sesuatu perkara itu untuk disampai atau disalur kepada umum. Itu adalah perkara awal yang muncul dibenak fikiran saya apabila di minta mengulas @ komen serba sedikit mengenai peranan media.

Khususnya media kerajaan yang kini nampak semakin kurang pengaruhnya terutama kepada generasi muda kini. Apa-apa pun buah fikiran saya yang dilontarkan ini adalah secara ringkas dan santai untuk renungan bersama. Siapalah saya untuk membuat tafsiran dan komen-komen yang begitu jauh dan berat kerana sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam, kesederhanaan perlu sentiasa ada dalam wa dan ditanam, dipupuk pada sanubari. Apa-apa pun, sememangnya mungkin ada lagi selepas ini beberapa perkara lain yang perlu ditokok tambahcagar sama-sama memperolehi manfaat dan pengetahuan.

Seperti yang diketahui, golongan muda kini boleh dikatakan lebih terdedah dengan pelbagai sumber maklumat dan info yang diperolehi tanpa garis sempadan dan had. Lebih-lebih lagi dengan ledakan dunia infomasi.. 'infomation technology' IT , "aka" internet, iaitu bermula era pertengahan 90'an di negara ini. Dengan Tag line dahulu, sumber maklumat hanya di hujung jari anda sahaja, tekanlah apa saja patah perkataan pun di ruang web "enjin pencari", sudah tentu dalam beberapa saat ketika sahaja.

Muncul apa yang diingini, termasuklah berkaitan perkara yang dicari seperti politik, ekonomi, isu masyarakat, sukan mahupun yang boleh memudaratkan fikiran seperti porno dan gejala sosial lain.

Dalam erti kata, internet kini sudah tentu menjadi sumber rujukan utama dan peranan media utama lain nampak semakin perlu mencari jalan dan cara setapak kehadapan bagi mengatasi perkara ini iaitu mengembalikan semula pengaruh kepercayaan kepada masyarakat khususnya media yang dikendalikan kerajaan. Malah kemunculan beribu-ribu blog pelbagai topik malah sensasi khususnya membabitkan politik semasa negara juga dikatakan antara penyumbang dan menarik untuk dilayari. Kerana sudah tentunya ia mudah diakses dan difahami. Malah tanpa fakta pun masih boleh dikarutkan lagi.

Hentamlah apa-apa yang disukai ditambah ayat-ayat "bombastik" pun masih lagi menjadi cerita ataupun berita, tetapi media arus perdana pula tidak seharusnya terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan situasi demikian.

Sudah tentu, perkara pertama yang menyebabkan media kini perlu membanting tenaga dan tulang empat kerat bagi membantu kerajaan memulihkan imejselepas berakhirnya senario pilihanraya umum PRU-12 baru-baru ini.

Kepercayaan yang sebelum ini kukuh nampaknya semakin menurun, berikutan beberapa isu-isu yang timbul dan berbangkit terutama pada tahun lalu, yang sudah tentu menimbulkan pelbagai ketidakpuasan hati di sesetengah individu. Lantaran terlalu banyak sekatan, perlindungan terhadap sesuatu kepentingan, mahupun ayat-ayat yang terlalu yakin tanpa memikirkan apakah kesan yang bakal dihadapi.

Natijahnya, PRU ke-12 baru-baru ini, walaupun kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) menang sekali lagi, namun ia tidak segah seperti tahun 2004. Kemenangan dengan undi majoriti mudah manakala pembangkang pula diterajui PKR, DAP dan PAS buat pertama kalinya memenangi kerusi Parlimen hingga mencecah 80 kerusi. itu tidak lagi melihat kepada tumbangnya 4 buah negeri (parlimen wilayah persekutuan Kuala Lumpur turut dikuasai pembangkang) , dan Kelantan terus di kuasai PAS malah menambahkan lagi kekuatan cengkamannya hingga majoriti 41 kerusi, manakala Umno terus menjadi pembangkang di negeri Serambi Mekah iaitu dengan hanya 4 kerusi sahaja. Malah cakap-cakap di awal sebelum PRU ke 12 bermula, Kelantan mampu dirampas kembali dengan peranan media yang bertubi-tubi dilafazkan keyakinan dan kepercayaan dimana bakal tumbangnya kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz pada PRU lalu itu menjadi sebaliknya. Ini ditambahkan lagi peranan media ketika itu, di ura-urakan Kelantan masih tidak membangun dan berjaya seperti negeri-negeri lain yang diterajui BN.

Ini mungkin juga boleh menjadi antara faktor penyebab. Saya tidaklah mahu mengulas panjang mahupun menulis dengan lebih panjang hal berkenaan termasuklah isu-isu lain.. misalnya BERSIH, HINDRAF atau kes-kes membabitkan badan kehakiman yang timbul sebelum ini yang telah menguji jentera media dalam membantu kerajaan menanganinya. Itu belum ditolak lagi dengan kedangkalan manusia yang berparti hanya mahukan sesuatu iaitu, yakni hanya untuk kepentingan diri.

Berbalik kepada peranan media arus perdana memulihkan kerajaan, sudah tentu antara prinsip-prinsip yang timbul tadi boleh dirumuskan dan difikirkan. Malah rakyat sendiri sudah muak dengan adanya cerita-cerita yang selalu menyebelahi sebelah pihak sahaja dan menafikan langsung sebelah pihak lagi, untuk mereka mempertahankan diri atau memberikan pendapat balas. Pendapat saya, jika diberikan pula ruang, perkara tersebut sudah tentu perlu diteliti dan penuh berkesederhanaan, malah sesuatu perkaraitu tidak perlu dibuat serta dilakukan secara melampau-lampau hingga mengundang muak dan kebencian.

Apa yang menarik perhatian saya, sudah tentu asyik-asyik timbul ayat yang berkata, Rakyat Harus Berterima Kasih Dan Bersyukur kepada Kerajaan.... ya saya tidak menafikannya. Namun sesekali sekala diubahlah ayat itu seperti "Kerajaan amat Bersyukur kerana dihargai, atau sangat menghargai sokongan dan amat berterima kasih kepada Rakyat yang memilih untuk terus mengemudi pentadbiran Negara." Tulus ikhlas inilah yang selalunya melembutkan hati rakyat "aka" manusia itu sendiri, kerana sifat merendah diri dan penggunaan nada atau ayat yang terlalu angkuh tidak perlulah digunakan lagi malah perlu dijauhi.

Selepas PRU-12 yakni 8 Mac lalu, BN sekali lagi diberi peluang memerintah negara tercinta ini dan sudah tentu mengunakan peluang yang diberikan ini dengan sebijak-bijak. Rakyat kini semakin cerdik dan jangan sesekali menyamakan pemikiran mereka dengan keadaan ketika di era awal kemerdekaan, mahupun ketika era zaman pemerintahan Tun Abdul Razak ataupun Tun Hussien Onn. Malah rakyat sendiri sudah mampu menilai, apakah seseorang pemimpin itu mempunyai kredilibiliti, bersifat tulus dan bertanggungjawab.

Berita-berita, rencana, komen mahupun sisipan arus perdana baik, bercetak mahupun elektronik sudah tentunya perlu tidak memainkan lagi sentimen-sentimen yang mengundang kepada perbalahan serta kurang sensitiviti dengan keadaan semasa negara. Selain itu, pembangunan negara dan kemajuan yang diperolehi mestilah juga seperti biasa disiarkan, malah perkara-perkara negatif yang berlaku dapat dan perlu diolah dengan ayat yang lebih bijak serta mudah difahami agar tidak memberi kesan pemikiran buruk dan tidak baik kepada masyarakat khususnya kepada generasi muda kini.

Apa-apa pun, media arus perdana yang kini diterajui atau dikawal oleh orang atasan atau "orang tertentu" baik kerajaan mahupun swasta, sudah tentu mempunyai cara atau strateginya sendiri, bagaimana mahu mengembalikan semula keyakinan serta memastikan imej kerajaan kembali pulih.

Tepuk Dada Tanya lah Selera.

No comments: