Friday, April 18, 2008

MSM SUDAH TEWAS?

Oleh Ati Hasmila Ahmad Tajulddin

Kemunculan awal suratkhabar di Malaysia ( dulu Tanah Melayu ) menyebarkan propaganda British kemudiannya diambil alih oleh Komunis untuk menyebarkan fahaman mereka sedikit sebanyak membentuk suratkhabar ejen propaganda pemerintah. Jika zaman sebelum merdeka Utusan Melayu, Zaman dan Majlis menjadi agenda menyampaikan suara bangsa Melayu ketika itu. Cukup dengan peranan media cetak, media elektronik mengambil alih, maka TV dan radio memainkan peranannya sehingga era kemunculan kuasa baru dunia tanpa sempadan iaitu blog sehingga dikatakan penyebab percaturan politik Malaysia berubah.

Senario yang berlaku sekarang seolah - olah media arus perdana (msm) sama ada media cetak mahupun elektronik sudah tewas apabila blog mewujudkan sindrom semua orang boleh jadi wartawan dan menulis. Malahan, maklumat yang berada di dalam blog yang menyimpang daripada kebenaran pun dipercayai pembaca sedangkan media arus perdana bagai ‘tercekik’ menyatakan perkara sebenar. Apatah lagi peranan media arus perdana yang nyata hak kerajaan pula kena menjawab semula isu yang timbul bagi mengelak negara kelam - kabut.

Penulis beranggapan media arus perdana perlu mengembalikan kepercayaan khalayak yang kini telah beralih kepada blog. Sebelum media arus perdana membantu kerajaan memulihkan imejnya, media arus perdana perlu terlebih dahulu dibantu kerajaan melemahkan kuasa medium blog yang ekstrem menentang kerajaan. Kerajaan lancarkan perang maklumat.

Langkah awal kerajaan menggunakan peranan blog dengan lebih meluas melalui mewujudkan seramai mungkin penulis blog yang pro kerajaan. Ini akan menyebabkan maklumat - maklumat mengenai sesuatu isu yang timbul seimbang antara pro dengan anti kerajaan, kalau boleh blogger yang pro kerajaan lebih ramai. Apabila situasi tersebut berlaku, khalayak mula tepu dan keliru dengan maklumat yang caca marba sehingga sukar mempercayai blog anti kerajaan lagi. Kekeliruan tersebut dijangka memberi impak positif apabila pandangan mereka mula teralih kembali kepada media arus perdana yang tradisional. Di sinilah kalangan pengamal media daripada media arus perdana mengambil alih kuasa dengan menyuntik semula kepercayaan rakyat kepada kerajaan pemerintah. Tidak ada gunanya sekarang sekiranya media arus perdana mencanang kebaikan dasar kerajaan pemerintah dan kepimpinannya jikalau media arus perdana sendiri dipinggirkan.

Media arus perdana juga harus perlu dibebaskan daripada imej parti, sekalipun tidak sepenuhnya tetapi kuasa orang politik dikurangkan. Dalam erti kata lain, media arus perdana tidak harus dipolitikkan sehingga terikat memberikan laporan. Sebagai salah seorang pengamal media, penulis sendiri merasakan ikatan kuat parti menyebabkan ketidak seimbangan dan akibatnya khalayak mual. Apabila perkara negatif yang terang - terangan disembunyi media kerana melibatkan pemiliknya, khalayak sukar menerima hakikat dan menganggap media arus perdana penipu. Sebagai contoh negeri di Pantai Timur yang diperintah pembangkang digembar - gembur memundurkan bumiputera sedangkan terang - terangan kuasa perniagaan di situ dikuasai peniaga Melayu.

Penulis percaya, negeri lain tidak sebegitu kerana terang dan jelas dikuasai kaum yang lain. Pemberitaan yang berat sebelah ini menyebabkan media arus perdana kurang menarik kerana telah dilabel apa yang kerajaan buat semua baik. Perkara negatif perlu ada jika mahukan perkara positif yang ditonjolkan untuk membantu kerajaan berkesan di hati masyarakat. Membawa kuda ke sungai mudah namun menyuruhnya meminum air mengikut kehendak kita bukan calang - calang kerja.

Berbalik kepada soal politik, cuba tanya rakyat adakah semua mereka kenal dengan wakil rakyat mereka? menteri mereka? Di sinilah, ,media arus perdana boleh menonjolkan perkara positif mengenai pemimpin dengan menyiarkan latar belakang pemimpin supaya gosip terjawab. Adakalanya pertanyaan muncul di kalangan masyarakat tidak ada jawapan yang sahih sehingga muncul pihak yang menangguk di air keruh memberi jawapan dan penjelasan yang bukan -bukan. Penonjolan peribadi di media ini bagaimanapun biarlah menarik dan tidak secara langsung supaya tidak nampak sangatlah membodek. Media arus perdana juga kena mengelak memihak kepada sesetengah pemimpin sahaja. Penonjolan tidak seimbang menyebabkan pemimpin ‘A’ dilihat lebih aktif daripada ‘B’ sehingga jasa yang dilakukan oleh si ‘B’ tidak nampak. Kesannya bukan kepada si ’B’ sahaja namun merebak kepada keseluruhan kerajaan.

Media juga sebenarnya jauhari politik. Media arus perdana perlu bertindak seumpama guru kepada pembentukan peribadi seseorang pemimpin yang mengajar perkara yang tidak harus dilakukan pemimpin. Siapa berani tegur pemimpin? Ya, media dan kuasanya. Media dedahkan pendapat rakyat teramai, nyatakan kepada pemimpin , apa yang rakyat tidak mahukan. Ini tidak, media arus perdana seiiring dan menyokong keputusan pemimpin sedangkan bertentangan dengan kehendak rakyat. Jika majoriti rakyat tidak mahukan dan menyampah dengan ‘K’ tetapi pemimpin pilih juga media kena sokong. Ini kena ubah. Media arus perdana kena berani nyatakan kebenaran. Jadikan media arus perdana betul - betul suara dan hak khalayak bukan saluran mengiyakan sebarang keputusan kerajaan. Tiada apa yang boleh memulihkan imej kerajaan sekiranya dalam keadaan manapun media ikut telunjuk kerajaan. Media arus perdana mesti memberitahu kerajaan secara terbuka kehendak dan kemahuan rakyat dan rakyat dapat melihat peranan ini. Kesannya rakyat meletak platform tanggungjawab menyampai kehendak mereka kepada media arus perdana. Pembelaan oleh media arus perdana menyebabkan rakyat memihak kepada laporan - laporan yang lain termasuk kecemerlangan kerajaan turut diakui mereka.

Media arus perdana tetap relevan sampai bila - bila. Khalayak tetap cari suratkhabar, tengok dan dengar radio setiap hari. Cumanya imej media arus perdana kena berubah dengan peredaran semasa selaras hasrat memulihkan imej kerajaan. Penulis juga bersetuju dengan saranan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang disiarkan dalam Utusan Malaysia 17 April lepas supaya suratkhabar meningkatkan kredibiliti mereka. Bahkan stesen tv dan radio juga harus mengikut jejak langkah sama. Tetapkan sasaran khalayak supaya media arus perdana dibaca golongan muda agar dasar kerajaan sampai kepada golongan ini.

Pilihanraya lalu sudah cukup menggambarkan bagaimana 1.4 juta pengundi muda yang pertama kali mengundi memberikan corak kerajaan menjadi seperti hari ini. Kerajaan Barisan Nasional kena celik dan berganding dengan media arus perdana memulihkan bukan sahaja imej bahkan semangat perjuangan mempertahankan kuasa. Justeru, kerajaan sekarang cubalah dengar suara - suara dari bawah tapi tetap jalan terus ke hadapan tinggalkan yang telah berlaku belakang seandainya mahu terus gah berada di atas.

No comments: