Oleh: RAJA LUVENA SHARIFUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Dis. – Dakwaan Hindu Rights Action Force (Hindraf) mengenai pembersihan etnik minoriti oleh kerajaan Malaysia kini digembar-gemburkan di India melalui rangkaian antarabangsa yang didorong parti pembangkang.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, beliau sendiri berhadapan dengan laporan akhbar bahawa kononnya Malaysia mengamalkan sistem aparteid semasa berada di India untuk misi perdagangan minggu lalu.
Laporan di dalam akhbar ‘nyamuk’ Mumbai, DNA yang bertarikh 28 November 2007, menyebut dakwaan penyair India-Sri Lanka Sharanya Manivannan, 22, yang telah menetap di Malaysia selama 17 tahun bahawa apa yang berlaku kepada kaum India di sini adalah tidak kurang daripada aparteid rasmi.
“Saya terkejut. Jelas sekali, sudah pun ada rangkaian yang dibentuk.
“Saya dapati, ia didorong politik berkait dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini kami pasti kerana sudah nampak campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka memiliki rangkaian antarabangsa dan gadis ini adalah sebahagian daripada rangkaian tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO yang terakhir bagi tahun ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Gadis tersebut yang lari ke India dua bulan lalu, antara lain, mengatakan mengenai mayat lelaki Hindu diambil dan dikebumi mengikut cara Islam manakala banyak kuil serta berhala dimusnahkan semasa sesi menyembah.
Rafidah yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan tidak pernah mengetepikan mana- mana agama dan apa-apa yang dilakukan adalah mengikut peraturan dan undang-undang.
“Tapi dia buat cerita yang betul-betul menyakitkan hati, dia kata kita ambil jenazah orang Hindu, kita curi walhal dia duduk di Malaysia selama 17 tahun, macam tak faham pula cerita.
“Dia tidak cerita yang orang itu memeluk agama Islam. Berita itu menakutkan orang dan ini adalah penipuan. Siapa perempuan ini?” tegasnya.
Bercakap mengenai kenyataan Ketua Menteri Tamil Nadu, M. Karunanidhi agar penyiksaan ke atas orang Tamil di Malaysia yang turut dimuatkan ke dalam akhbar itu, beliau berharap negara itu tidak campur tangan di dalam urusan negara dan membenarkan negara menanganinya secara dalaman.
Kerajaan Malaysia, katanya, tidak pernah campur tangan di dalam hal ehwal negara lain, khususnya apabila yang dilaporkan adalah palsu dan dari jauh, isu ini perlu didekati dengan berhati-hati.
Namun begitu, beliau bersyukur apabila orang India yang selalu ke Malaysia untuk melabur mengatakan laporan itu tidak benar sama sekali.
Malahan, dalam misinya ke India itu, beliau dikemukakan pertanyaan mengenai kejadian demonstrasi Hindraf tanpa menerima sebarang kutukan.
Dalam hal ini, Rafidah menegas, Wanita UMNO mengutuk tindakan Hindraf mengadakan ‘politik jalanan’ kerana mereka menggunakan agama sebagai modal politik.
“Jelas mereka bukan sebenarnya memperjuangkan nasib orang India tapi kononnya cuba menggunakan pembelaan nasib Hindu di Malaysia dan ini suatu yang tidak patut berlaku,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan kesedihan dengan janji kewangan Hindraf kepada pengikutnya yang didakwa tidak mungkin berlaku dan hanya sekadar untuk memancing undi.
“Harap rakyat Malaysia beragama Hindu jangan sesekali tertarik dengan janji ini.
“Tolak politik begini dan usaha mengganggu gugat kestabilan kita kerana apa sahaja masalah boleh dikemukakan kepada kerajaan melalui saluran yang sewajarnya,” kata Rafidah. (SUMBER - UTUSAN MALAYSIA)
Wednesday, December 5, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment