Friday, December 14, 2007

PENAHANAN ELAK GUGAT NEGARA

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

IPOH: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan penangkapan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dapat mengekang pertubuhan itu daripada terus melakukan perbuatan yang menggugat kestabilan negara.

Presidennya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata MBM menyokong tindakan tegas kerajaan itu kerana tindakan Hindraf sudah melampaui undang-undang negara serta mendedahkan masyarakat kepada suasana tidak tenteram.

"Kami menyanjung tinggi tindakan itu sekali gus dapat memberi peringatan kepada semua pihak supaya tidak bertindak melanggar undang-undang.

"Sebaliknya, sebarang tuntutan, bantahan atau permintaan harus mengikut saluran yang sudah ditetapkan oleh kerajaan," katanya pada sidang media di sini semalam.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mengumumkan penangkapan lima pemimpin Hindraf di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan mengikut Seksyen 8(1) ISA tengah hari semalam kerana melakukan perkara yang menggugat keselamatan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kelima-lima mereka ialah P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasantha Kumar.

Shamsul berkata, tindakan Hindraf khususnya melakukan demonstrasi jalanan telah sedikit sebanyak merencatkan usaha murni kerajaan untuk menarik pelabur serta pelancong asing dan menggerakkan ekonomi rakyat.

Malah, katanya, tindakan Hindraf cuba membawa campur tangan pihak luar dalam urusan politik negara adalah tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendedahkan negara kepada sebarang kemungkinan tindakan kumpulan luar yang cuba menonjolkan diri sebagai jaguh memperjuangkan golongan tertentu.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang menaungi lebih 300,000 ahli di seluruh negara mengutuk tindakan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang cuba mengganggu keamanan dan ketenteraman negara dengan membangkitkan isu perkauman.

Penaung Agungnya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pertubuhan itu tidak mahu ada mana-mana pihak cuba menggugat perpaduan serta ketenteraman awam dengan menyentuh isu sensitif mengenai kaum dan agama.

"Jangan cuba mencetuskan isu sensitif membabitkan bangsa, budaya, bahasa, agama, kedaulatan raja serta apa juga hal berkaitan orang Melayu di negara ini dan yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya juga meminta kira-kira empat juta penggiat silat daripada 360 pertubuhan di seluruh negara supaya mengambil pendirian tegas yang sama," katanya, pada majlis perasmian Kejohanan Pencak Silat Terbuka anjuran Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia (PSSGM) di sini malam kelmarin.

Kejohanan bermula 10 Disember lalu disertai 18 kontinjen membabitkan pertubuhan silat negeri, kelab gabungan dan institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama seharusnya memikul tanggungjawab memastikan keamanan dan ketenteraman negara berterusan, bukan menjejaskannya. (BERITA HARIAN)

No comments: