Wednesday, December 12, 2007

POLIS BERHAK TAHAN : SPEAKER

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Polis berhak memasuki bangunan Parlimen dan menahan seseorang jika didapati individu itu boleh mengancam keselamatan dan mengganggu persidangan dewan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Katanya perkara itu termaktub dalam Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan yang memperuntukkan antara lain bahawa mana-mana pihak yang berada dalam kawasan larangan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan iaitu membenarkan pihak berkuasa mengawal selia pergerakan dan kelakuan mereka.

"Jelas di sini bahawa bangunan Parlimen telah digazetkan sebagai kawasan larangan, maka pihak berkuasa iaitu anggota polis berkuasa untuk menjalankan tanggungjawabnya," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Ramli, polis harus mematuhi prosedur tertentu semasa menjalankan tanggungjawab itu.

"Saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) mengenai prosedur ini," katanya semasa memberi penjelasan berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) sebelum itu.

Lim bangkit sejurus selepas selesai sesi jawab lisan dan mempersoalkan tindakan polis menahan lima anggota Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di luar pagar Parlimen semalam.

Beliau berkata tindakan polis itu bertentangan dengan prinsip Parlimen sebagai kawasan larangan dan terkecuali daripada tindakan pihak berkuasa.

Ramli berkata bahawa jika mana-mana individu semasa berada di dalam kawasan larangan tidak mematuhi apa-apa arahan maka individu terbabit boleh dikeluarkan dari kawasan tersebut oleh pihak berkuasa.

No comments: