Wednesday, December 5, 2007

PEMIMPIN HINDRAF MESTI BACA

NEW DELHI 4 Dis. – Satu perempat daripada 1.1 bilion penduduk India (kira-kira 275 juta orang) dilaporkan berada di bawah paras kemiskinan dengan kebanyakannya menyara hidup mengerjakan ladang-ladang kecil meskipun ekonomi negara ini berkembang pesat.

Menteri Kerajaan Tempatan India, Mani Shankar Aiyar melahirkan kebimbangan sengketa sosial bakal berlaku kelak jika kekayaan hasil pembangunan itu berterusan gagal diagih kepada berjuta-juta golongan miskin di negara ini.

“Walaupun negara ini mencapai pertumbuhan ekonomi hampir 10 peratus tahun lalu, taraf hidup rakyat tidak meningkat malahan semakin menurun.

“India sebagai sebuah negara sememangnya semakin maju, tetapi rakyatnya tidak,” katanya pada hari terakhir Sidang Kemuncak Ekonomi India di sini hari ini.

Menurut Aiyar, perkembangan pesat ekonomi juga hanya mempengaruhi sebahagian kecil penduduk di negara ini sehinggakan kedudukan India dalam Indeks Pembangunan Manusia pada tahun ini jatuh ke tangga 128 berbanding kedudukan 126 tahun lalu.

Ekonomi India yang berkembang sebanyak 9.4 peratus tahun lalu disasarkan mencapai hampir sembilan peratus atau lebih tinggi lagi pada tahun ini.

Pada masa yang sama, Aiyar menyalahkan pihak berkuasa tempatan yang didakwanya malas, cuai atau mengambil rasuah sehinggakan hanya 15 peratus daripada setiap rupee bantuan sosial kerajaan sampai kepada rakyat.

Satu laporan disediakan oleh sidang kemuncak berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada Forum Ekonomi Dunia Davos, turut menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi oleh rakyat India, antaranya infrastruktur yang terlalu kurang.

‘‘Lapan puluh peratus rakyat India tidak mempunyai kemudahan kebersihan yang betul dan kebanyakannya tidak mendapat bekalan elektrik,’’ kata Anand Mahindra, Naib Pengerusi Mahindra & Mahindra, pengeluar trak terbesar di India.

Selain itu, penduduk India juga merangkumi satu pertiga jumlah penduduk dunia yang buta huruf dengan hanya 64 peratus golongan dewasa di negara ini boleh membaca.

No comments: