KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Bintang skuasy Malaysia, Nicol Ann David hari ini dinobatkan sebagai Olahragawati Asia pada majlis Anugerah Sukan Asia (ASA) yang pertama kali diperkenalkan oleh Asian Sports Press Union (Aspu).
Pemain skuasy nombor satu dunia itu menewaskan atlet angkat berat dari Thailand, Paweena Thongsuk dan Jin Sun Yu (Sukan Musim Sejuk) dari Korea Selatan.
Aspu memilih Liu Xiang (Olahraga) dari China sebagai Olahragawan Asia.
Pemenang lain ialah pasukan short track speed skating dari Korea Selatan (Pasukan Terbaik Asia - Lelaki), beregu badminton China, Gao Ling-Huang Sui (Pasukan Terbaik Asia - Wanita), lagenda tenis India, K. Ramanathan (Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat) dan bekas bintang kriket Pakistan, Imran Khan (Anugerah Kemanusiaan).
Naib Presiden Aspu, George Dass berkata anugerah itu, diadakan dengan kerjasama Stropt & Sports Limited (Hong Kong), diberikan kepada atlet Asia yang menjadi teladan dan mendorong minat berjuta orang di Asia, dalam bidang masing-masing.
Beliau berkata Nicol dan Liu dipilih daripada 100 pencalonan dari 25 badan sukan dan Majlis Olimpik Kebangsaan dari 15 negara Asia.
"Kita mempunyai panel hakim yang terdiri daripada wartawan dan pentadbir sukan terkemuka di Asia, untuk meneliti para calon," kata Das kepada pemberita semasa mengumumkan para pemenang di sini hari ini.
Panel hakim terdiri daripada timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Dr M. Jegathesan, wakil Aspu, Eswar Ramachandran (India) dan Faisal Al-Qanai (Kuwait) dan Das.
Nicol, 23, dinobatkan pemain nombor satu dunia pada Januari tahun lepas.
Sepanjang tahun itu, beliau menjuarai Terbuka British, Terbuka Skuasy Dunia, Terbuka Cabaran Qatar Airways, Terbuka Malaysia, Terbuka Hong Kong dan pingat emas di Sukan Asia Doha.
Liu, 23, pemenang pingat emas pada Sukan Olimpik Athens 2004, adalah pemegang Rekod Dunia sekarang bagi acara 110 meter lompat pagar dengan catatan 12.88 saat, memecahkan rekod di Switzerland pada Julai tahun lepas.
Beliau juga memenangi pingat emas pada Sukan Asia Doha, Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF), Grand Prix Osaka, Golden League Athletics di Paris, Piala Dunia IAAF di Athens dan Grand Prix IAAF Super di Lausanne.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment