Friday, December 14, 2007

GOLONGAN SEBAR FITNAH PENGKHIANAT NEGARA

Oleh Sariha Mohd Ali dan Abdul Razak Raaff

SUBANG: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menegaskan golongan yang membuat fitnah terhadap Malaysia di luar negara serta membawa masuk budaya demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram, sebenarnya mengkhianati dan tidak sayangkan negara.

Perdana Menteri berkata, majoriti rakyat yang selama ini berdiam diri juga marah dan tidak senang dengan tindakan golongan yang tidak patriotik itu.

"Rakyat paling marah kepada golongan yang pergi ke luar negara untuk mencari sokongan, simpati, buat cerita dan tuduhan yang bukan-bukan. Mereka sebenarnya tidak sayangkan negara, sebaliknya tamakkan kuasa dan tidak kisah apa yang akan terjadi kepada negara.



"Mereka tidak peduli walaupun rakyat mengalami kerugian kerana sikap mereka yang terlalu taksub dengan pandangan mereka walaupun kesannya akan merosakkan kesejahteraan rakyat dan ini langsung mereka tidak fikir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, selepas menerima memorandum Damai Malaysia – gabungan 395 badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram.

Memorandum itu diserahkan Pengerusi Penyelaras Damai Malaysia, Mohd Saiful Adil Mohd Daud, sebelum Perdana Menteri berlepas ke Kuantan untuk lawatan kerja sehari serta melawat mangsa banjir di Pahang.

Abdullah berkata, Malaysia maju dan berjaya bukan kerana demonstrasi jalanan, sebaliknya kerana berpegang teguh kepada amalan demokrasi yang menghormati undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menjelaskan apa yang kerajaan laksanakan selama ini sebenarnya bertujuan memastikan

rakyat dapat menikmati keamanan dan kestabilan politik, di samping masih boleh bersuara termasuk menerusi media massa.

"Kalau kebebasan digunakan dengan tidak bertanggungjawab, maka rakyat yang mengalami kerugian seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini (demonstrasi jalanan)," katanya.

Abdullah juga kesal kerana tindakan Barisan Bertindak Hak Hak Hindu (Hindraf) serta Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) mengadakan demonstrasi jalanan menyebabkan pelbagai sektor, terutama industri pelancongan dan peruncitan, mengalami kerugian besar.

Beliau dimaklumkan kira-kira 10 peratus tempahan bilik di kebanyakan hotel di kawasan segi tiga emas di pusat bandar raya ini, termasuk Bukit Bintang serta di negeri lain, dibatalkan akibat demonstrasi jalanan itu.

"Kalau sudah 10 peratus tempahan bilik hotel dibatalkan, ini satu kerugian besar yang terpaksa ditanggung pihak hotel dan saya percaya ada juga agensi pelancongan, pengusaha kereta sewa dan bas pelancong yang menerima nasib sama.

"Mungkin apabila mereka (pelancong) datang ke Kuala Lumpur, mereka nak juga ke destinasi lain di negara ini seperti Sabah dan Sarawak atau negeri lain dan hotel yang sepatutnya mereka menginap juga mengalami kerugian sebab pembatalan tempahan.

"Ini juga berlaku kepada peniaga yang mengharapkan pelancong datang dan membeli produk mereka. Kerugian yang ditanggung mereka ini berlaku bukan saja di pusat bandar raya tetapi juga negeri lain," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri juga meminta Mohd Saipul Adil membacakan deklarasi Damai Malaysia yang antara lain menyatakan komitmen NGO terbabit untuk terus meneguhkan amalan toleransi dan kerjasama antara kaum dan menjadi pendukung budaya demokrasi yang bertanggungjawab di kalangan generasi muda.

Sementara itu, ketika berucap di hadapan 2,500 pemimpin masyarakat dan Barisan Nasional (BN) Pahang setibanya di pangkalan TUDM, Kuantan, Abdullah berkata, pandangan rakyat pelbagai kaum yang mewakili 395 NGO itu menunjukkan majoriti rakyat menentang demonstrasi jalanan.

"Akhirnya, saya mendengar majoriti rakyat yang selama ini berdiam diri, membuka suara mereka menentang demonstrasi jalanan kerana ini bukan cara dan budaya kita.

"Kita mengambil tindakan sebab kerajaan tahu kehendak rakyat yang tidak mahu demonstrasi jalanan kerana boleh mengancam keselamatan. Jadi tanggungjawab kita untuk bersama menjaga keamanan," katanya.

Abdullah berkata, kerajaan selama ini mendengar suara rakyat yang dinyatakan secara aman melalui dialog, jawatankuasa pembangunan, persatuan dan wakil rakyat bagi menjayakan projek pembangunan.

"Walaupun saya Perdana Menteri berbangsa Melayu yang mengetuai Umno, tetapi kekuatan saya kerana mendapat sokongan BN yang mewakili semua kaum," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai projek bukan hanya untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya ia sudah dirancang untuk dilaksanakan satu persatu menggunakan peruntukan disediakan.

"Kita perlu masa melaksanakannya dan jika kita menghadapi pilihan raya tidak lama lagi, kita akan tetap teruskan kerja. Kita yakin majoriti rakyat akan terus menyokong kita," katanya.

Sementara itu bercakap pada majlis perjumpaan dengan penjawat awam di sini malam tadi, Perdana Menteri berkata, kakitangan sektor awam perlu terus meningkatkan tahap perkhidmatan mereka ke arah yang lebih baik walaupun prestasi mereka sekarang berada pada tahap memuaskan.

Beliau berkata, kritikan yang dilemparkan media dan badan lain terhadap prestasi perkhidmatan awam sebelum ini berjaya mengubah prestasi sehingga perkhidmatan awam kini mampu bersaing dengan sektor swasta.

"Sekarang sudah ada tanda perkhidmatan awam kita bertambah baik berdasarkan kurangnya kritikan dan teguran yang dilemparkan.

"Namun, saya mahu kakitangan awam terus berusaha memberi perkhidmatan lebih baik kerana hasilnya akan dinikmati rakyat yang menjadi pelanggan kita," katanya. (BERITA HARIAN)

No comments: