Wednesday, December 5, 2007

KEKALKAN FORMULA PERPADUAN : NAJIB

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Nilai asas dan semangat perkongsian kuasa dalam pentadbiran yang dapat membawa kejayaan dan kemakmuran kepada negara harus terus dipertahankan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini kerana tidak ada perlunya untuk mengubah satu formula yang telah terbukti dapat membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

"Nilai asas kita, formula kita dan rasa perkongsian hidup dan perkongsian pentadbiran negara kita serta segala amalan kita yang membawa kejayaan selama ini mesti kita pertahankan.

"Pada saya, kalau formula ini dah terbukti dapat hasilkan perubahan dan isi kepentingan rakyat, kenapa nak ubah formula ini, kalau ubah boleh jadi keadaan tak menentu boleh timbul, jadi lebih buruk dari sekarang," katanya dalam Program Bicarawara yang disiarkan di RTM1 malam ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata nilai asas yang terbina sejak 50 tahun lepas iaitu perkongsian dalam memperjuangkan kemerdekaan, perkongsian kuasa, kekayaan, serta permuafakatan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi turut mampu untuk memacu negara ke depan.

Beliau berkata setelah 50 tahun merdeka, Malaysia telah berjaya menempuhi dan menangani pelbagai cabaran.

"Setiap kali kita lalui ujian ini, ia menjadikan kita lebih kuat lagi. Kita ambil kesempatan imbas kembali perjalanan kita selama 50 tahun ini dan ambil iktibar daripadanya untuk terus maju ke depan, mudah-mudahan perjalanan kita seterusnya akan berpaksi kepada satu negara yang kukuh, kental kekuatan dalamannya," katanya.

Formula dan nilai tersebut, katanya akan terus dipraktikkan oleh parti komponen BN dalam menghadapi cabaran baru.

Mengenai demonstrasi jalanan di ibu kota baru-baru ini, Najib berkata ia sengaja dilakukan oleh pihak tertentu untuk menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan sanggup membelakangkan ketenteraman awam demi kepentingan politik mereka sendiri.

"Jika mereka bertanding dalam suasana negara yang aman, mereka anggap suasana ini akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN). Jadi mereka fikir mereka akan mempunyai peluang yang lebih baik," katanya.

Beliau turut menegaskan walaupun sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia berbeza dengan negara demokrasi yang lain, namun ia tetap adil dan telus.

Katanya dakwaan mengenai sistem demokrasi negara ini tidak adil dan kononnya belum mencapai demokrasi tulen adalah bermotifkan politik.

"Demokrasi kita berasaskan kepada sejarah kita, nilai budaya dan tradisi kita.

"Yang penting, kita memberi hak kepada semua rakyat secara adil untuk memilih siapa yang mereka mahu pilih menjadi kerajaan," katanya.

Mengenai sistem pertahanan, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata bidang tersebut akan terus dibangunkan seiring dengan misi negara untuk mencapai status negara maju.

"Kita tidak mampu untuk mempunyai sistem pertahanan yang rapuh. Walaupun kita tidak bersaing dengan negara lain atau anggap mereka bakal mengancam kita, tetapi kemampuan pertahanan mesti dibangunkan selari dengan pembangunan keseluruhannya," katanya.

Daripada segi kualiti rekrut ketenteraan, Najib berkata kementerian itu tidak pernah ketandusan dalam merekrut pegawai dan anggota yang berkualiti.

Beliau berkata pelbagai usaha telah diambil, misalnya menaiktaraf skim gaji anggota Angkatan Tentera Malaysia serta melahirkan lebih ramai pegawai terlatih dan berwibawa.

No comments: