Oleh Dr Abd Razak Abu Chik
Antara permainan popular di kalangan remaja masa kini ialah permainan sudoku. Permainan ini dikatakan berasal dari Jepun. Walaubagaimanapun orang Eropah mendakwa permainan ini diperkenalkan di Eropah pada zaman penjajahan dan ditiru oleh Jepun.
Dalam hal ini, terdapat suatu teori yang lebih sahih iaitu permainan sudoku atau assuduk berasal daripada Bahasa Arab. Perkataan ini berasal daripada gabungan sin, dal, kaf yang membawa makna susun.
Dalam permainan sudoku, seseorang itu dikehendaki menyusun angka 1 hingga 9 dalam 81 petak yang disediakan. Dalam permainan ini, setiap angka 1,2,3,4,5,6,7,8 dan 9 mesti ada dalam setiap baris sama ada menegak atau melintang.
Sehubungan itu, kesemua angka 1 hingga 9 mesti ada dalam setiap 9 baris menegak dan 9 baris melintang. Seterusnya kesembilan angka tersebut juga mesti ada bagi setiap 9 petak (3x3).
Dengan kata lain, dalam permainan sudoku terdapat 27 susunan angka yang terdiri daripada angka 1 hingga 9 dalam bentuk menegak, melintang dan dalam setiap petak (3 x 3). Setiap angka dalam sesuatu baris tidak dibenarkan berulang. Begitu juga dalam setiap petak (3 x 3).
Pada zaman dahulu, mereka tidak menggunakan angka 1 hingga 9. Sebaliknya mereka menggunakan 10 huruf tambahan. Dalam Bahasa Arab terdapat 29 huruf yang terdiri daripada 19 huruf asas dan 10 huruf tambahan.
Huruf asas ialah ba, tha, jim, ha pedas, kha, dal, dzal, ra, zai, syin, shad, dhat, tha, zha, ain, ghin, fa, qaf, dan kaf. Manakala 10 huruf tambahan ialah sin, hamzah, lam,ta, mim, wau, nun, ya, ha simpul dan alif. Sehubungan itu, oleh kerana bilangan huruf yang diperlukan dalam petak ialah 9 huruf, maka huruf alif dan hamzah digabungkan.
Orang Eropah kemudiannya menukarkan 9 huruf iaitu (sin, hamzah dan alif, lam, ta, mim, wau, nun, ya, ha simpul) kepada angka 1 hingga 9. Begitu juga orang Jepun yang kemudiannya mempopularkannya masih mengekalkan sistem angka 1 hingga 9.
Permainan sudoku menggunakan huruf tambahan sememangnya banyak memberi manfaat kepada pelajar Bahasa Arab. Permainan ini banyak membantu para pelajar menguasai perkataan Arab terutamanya dalam memahami makna perkataan. Seterusnya ia membantu para pelajar menguasai angka.
Dengan cara ini, seseorang yang menguasai huruf sudah pasti akan membantunya untuk menguasai bahasa. Begitu juga jika seseorang yang menguasai angka sudah pasti akan membantunya untuk menguasai matematik. Tegasnya, seorang yang mahir berbahasa Arab akan banyak membantu untuk bijak dalam Matematik. Inilah yang telah dibuktikan para ulama terdahulu seperti al-Khawarizmi dan lain-lain.
Berdasarkan beberapa kursus ‘Bahasa Arab yang memfokuskan cara untuk menguasai Matematik’ yang dijalankan setakat ini memang mendapat sambutan yang menggalakkan. Rata-rata para pelajar mendapat suntikan motivasi yang cukup tinggi. Ini kerana belajar Matematik berasaskan Bahasa Arab dapat mencungkil pelbagai rahsia.
Buktinya, perkataan-perkataan yang berkaitan Matematik adalah berasal daripada gabungan ha-sin-ba. Apa yang penting ialah perkataan Al-Hasib iaitu nama Allah Yang Maha Mengetahui tentang Matematik. Oleh itu, seseorang yang belajar Matematik menerusi Bahasa Arab mudah memohon petunjuk daripada Al-Hasib.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment